Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak menjadikan hukuman sebagai langkah pertama dalam mengambil tindakan terhadap komuniti mak nyah.

Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail berkata, setakat ini pihaknya mendahulukan cara dakwah dan pendekatan inklusif  supaya mereka insaf dan kembali kepada landasan agama.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang adalah pilihan terakhir selepas kaedah penerangan, pemahaman dan pemulihan dilakukan terhadap mereka.

"Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, memang kita boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap lelaki yang menyerupai wanita di khalayak ramai, namun Jawi melihat hukuman denda adalah jalan terakhir, sebaliknya Jawi akan mengambil pendekatan dakwah iaitu membawa mereka kembali ke landasan agama," katanya kepada Sinar Siasat, semalam.

Mohd Ajib mengulas laporan Sinar Siasat berhubung isu mak nyah, semalam.

Jawi juga mengambil maklum keberadaan komuniti mak nyah tertumpu di kawasan bandar kota raya yang pastinya memerlukan langkah proaktif pihak berkuasa dalam membendung permasalahan itu. 

Menjelaskan kaedah dakwah,  Mohd Ajib berkata, Jawi dengan kerjasama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus memberi penerangan kepada mereka mengenai hukum sebagai orang Islam serta menghormati hak  akauntabiliti ALLAH SWT.

“Jawi menyantuni golongan ini dengan melaksanakan aktiviti outreach (temu-seru) dan mengajak mereka (LGBT) yang beragama Islam menyertai program pemulihan.

"Dari segi penguatkuasaan pula, Jawi bekerjasama dengan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membanteras sekiranya terdapat aktiviti tidak bermoral melibatkan golongan LGBT  termasuk golongan mak nyah diadakan di sesebuah kawasan," tegasnya.

Dalam pada itu kata Mohd Ajib,  Jawi bersedia membuat jaringan kerjasama dengan NGO bagi menyediakan ilmu dakwah  serta kepakaran dalam usaha menyelesaikan isu LGBT ini secara tuntas.

Ketika diajukan soalan sama ada pemulihan atau program keinsafan terhadap mak nyah boleh dilakukan di tanah perkuburan supaya mereka menginsafi kematian, Mohd Ajib berkata, cadangan itu perlu diperhalusi sedalam-dalamnya.