Warga asing di negara kita kerapkali dikaitkan dengan kesalahan jenayah dan pelbagai lagi kesalahan yang melanggari undang-undang negara.

Sesetengah daripada mereka selain memasuki ke negara kita secara tidak sah, tidak kurang juga yang mencetuskan kebimbangan rakyat tempatan kerana terbabit dalam kes rompakan, bergaduh secara berkumpulan dan merogol.

Kini, satu lagi kesalahan dikesan dilakukan golongan ini yang mampu mengancam keselamatan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya.

  Memandu kenderaan perdagangan tanpa lesen. Itulah hasil siasatan dijalankan Wartawan Sinar Siasat baru-baru ini. Mereka tidak mempunyai lesen kenderaan pergangan atau Lesen Memandu Kenderaan Barang-barang Malaysia (GDL), bebas di atas jalan raya dengan mengangkut dan menghantar barang sana sini.

Sikap tidak bertanggungjawab majikan mahu untung berlipat ganda dengan membayar gaji murah kepada warga asing menjadi pemandi lori berat atau treler antara faktor masalah berkenaan sukar diselesaikan. .

Adakah majikan tidak sedar risiko perbuatan mereka? Sejauh mana keprihatinan majikan seperti ini terhadap soal keselamatan pengguna jalan raya lain sedangkan faktanya, warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan berat kerana mereka  tidak dibolehkan memiliki GDL melainkan lesen B2, B dan D sahaja.

Namun, situasi hari ini segelintir majikan mengupah warga asing kebanyakannya dari India dan Indonesia untuk memandu kenderaan berat milik syarikat mereka.

Ini kesalahan tidak boleh dipandang enteng dan pihak kerajaan perlu membuka mata untuk menyelesaikan masalah ini sebelum lebih banyak kemalangan dan nyawa melayang di atas jalan raya kita gara-gara warga asing ini.

Berdasarkan tinjauan Sinar Siasat, pemandu warga asing ini aktif pada waktu puncak sekitar  12 tengah hari, 7 petang dan tengah malam. Malah, dengan kecanggihan teknologi, mereka bergerak dengan terancang bagi mengelakkan daripada dikesan pihak JPJ.

Antara lokasi panas adalah di sekitar Pelabuhan Klang membabitkan Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat.

Di situ aktiviti keluar masuk mereka boleh dilihat dan mereka ini mudah dikenal pasti berdasarkan raut wajah.

Kebiasaannya, pemandu warga asing ini hanya ditugaskan untuk menghantar barangan ke kawasan berhampiran dan bagi mengelak dikesan JPJ, pergerakan mereka dibantu geng tonto yang memberi maklumat mengenai operasi pihak berkuasa.

Jika ada kehadiran JPJ misalnya, tonto ini akan berperanan sebagai pemberi maklumat untuk pemanduan dihentikan seketika atau mengubah laluan. Lebih licik mereka berani mengekori kenderaan JPJ.

Bayangkan tanpa latihan mencukupi, pemanduan yang melulu kerana mengejar trip. Pemanduan warga asing ini akan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Bukan menuduh  pemandu lori warga asing ini semata-mata punca kemalangan jalan raya di Malaysia tetapi memang perlu kita fikir bayangkan jika berlaku kemalangan. Ada pihak yang mati katak bukan?