SEORANG peserta Program Khas Haji Perdana Menteri di bawah Yayasan 1MDB meminta kerajaan Pakatan Harapan segera merungkai resah hati jemaah yang tertanya- tanya mengenai status pembatalan program berkenaan.

Bahar Khafadi, 52, antara penerima tawaran melaksanakan ibadah itu atas kuota pemimpin tempatan berkata, rata-rata dalam kalangan mereka yang mendapat surat tawaran itu  tertunggu-tunggu surat mengesahkan bahawa program itu sahih telah dibatalkan.

“Kami masih tertunggu-tunggu dan jika mereka beri surat makluman ia benar-benar dibatalkan, kita akan terima seadanya. Jika itu takdirnya, kita kena reda namun setakat ini belum terima apa-apa surat,” katanya.

Pada masa sama, kata Bahar, dalam keadaan perasaan kalangan jemaah yang bercampur baur  kecewa lantaran tidak tertunai hasrat menunaikan ibadah itu tahun ini seperti dihajati,  beliau meminta supaya jangan ada mana-mana pihak mengaitkan isu penghantaran peserta haji  di bawah tajaan Yayasan 1MDB itu dengan motif politik.

“Saya dan calon jemaah lain mahu pergi ke sana demi menunaikan rukun Islam kelima, maka ketepikanlah isu politik,” katanya dengan kecewa.

Tambah Bahar, beliau yakin bukan setakat dirinya namun bakal jemaah lain juga tentu masih menyimpan sekelumit harapan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menilai sehalusnya program haji tersebut.

Kata Bahar, beliau meminta kerajaan tidak menyekat kesemua bakal jemaah untuk meneruskan urusan menunaikan haji kali ini walaupun program sesi tahun ini dihentikan.

“Tidakkah ada belas kasihan daripada Tun Mahathir. Berilah peluang kepada kami untuk ke sana sebagai calon  terakhir.

“Pada masa sama jika kerajaan tidak benarkan kami ke sana melalui 1MDB, berilah peluang kami ke sana melalui wang saku sendiri kerana inilah peluang kami.

“Jika tak dapat pergi sekarang, kami sendiri belum pasti bila lagi peluang yang sama akan tiba,” katanya.

Menurut Bahar  dia menerima tawaran menunaikan haji di bawah Yayasan 1MDB daripada  kerajaan terdahulu pada Disember 2017.

“Pada masa itu, siapa pun yang dapat tawaran tunai haji mesti rasa bangga dan bersyukur.

“Saya dan calon dijangka berlepas pada 14 Julai, terdapat lima penerbangan akan berlepas bermula tarikh itu hingga 18 Julai tak lama lagi.

“Namun setelah kerajaan terdahulu tumbang tiba-tiba kerajaan baharu berhasrat membatalkannya, saya akui memang terlalu kecewa.

“Jika Tun  Mahathir benarkan kami pergi, sekurang-kurangnya ada dalam kalangan kami nanti yang pastinya akan mendoakan kesejahteraan  beliau,” kata Bahar.

 

Tahu melalui media

 

Seorang lagi peserta haji 1MDB meminta Kerajaan mengeluarkan kenyataan segera bagi mengesahkan status jemaah haji di bawah program berkenaan sama ada ia sah batal atau mereka masih boleh menaruh sekelumit harapan.

 

Roslan Abdul, 50, berkata, dia cuma tahu mengenai program berkenaan dibatalkan kerajaan berdasarkan ucapan Dr Mahathir sebelum ini ketika di Jepun yang disiarkan media namun setahunya setakat ini, dia mahupun peserta lain belum menerima pengesahan daripada mana-mana pihak.  

 

“Jika program tersebut benar-benar dibatalkan, kerajaan perlu beri penjelasan terperinci mengapa ia dibatalkan, “ kata Roslan yang menerima tawaran menunaikan  haji di bawah yayasan berkenaan atas kuota pemimpin tempatan.

 

Tiada perasaan lain, melainkan Roslan begitu kecewa kerana tidak tercapai hasrat melaksanakan Rukun Islam ke lima itu apatah lagi dia sepatutnya dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 14 Julai ini.  

 

“Masalahnya sekarang status 1MDB belum dapat dibuktikan sama ada ia salah atau sebaliknya. Cuma saya rasa sedih dan kecewa apabila ibadat haji yang mahu dilaksanakan tersekat ekoran perbezaan fahaman politik selepas kerajaan bertukar tangan,” katanya.

 

Pada masa sama, beliau yang menerima surat tawaran menunaikan haji pada 2 Februari lalu turut berkata, ketika menerima surat itu dia sangat gembira dan bersyukur kerana diberi ruang serta peluang untuk menunaikan haji dalam puluhan ribuan umat Islam di negara ini.

 

“Saya sudah 60 peratus buat persiapan. Saya akui sejak dapat surat daripada kerajaan terdahulu, saya mula membuat persiapan dan kelengkapan termasuk hadir kursus haji.

 

“Memang rasa bersemangat dan hati rasa berbunga-bunga namun malangnya ketika sedang dalam proses (bahagia)  itu berlaku pertukaran kerajaan, terus mimpi indah saya bertukar jadi mimpi ngeri.

 

“Saya kena reda kerana itu perancangan ALLAH. Namun jauh di sudut hati saya masih berharap diberi peluang oleh kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir kepada saya dan lebih 1,000 calon jemaah pada kali ini,” katanya.