“Sekarang memang rasa susah, mujur ada anak-anak bantu setiap bulan,” luah peneroka Felda Gedangsa, Zakaria Shukri, 72, ketika ditemui Sinar Siasat.

Zakaria berkata, dia mula menetap di felda berkenaan sejak tahun 1972 dan pada masa itu, hasil tanaman getah merupakan hasil dinikmatinya sehinggalah sekitar tahun 2005.

Menurutnya, segala hutang bersama Felda bagi urusan kebun serta sara diri ketika itu sudahpun dilangsaikan melalui hasil yang diperoleh, namun, segala-galanya berubah apabila proses tanam semula tanaman dari getah kepada kelapa sawit bermula.

“Hasil biasanya ikut blok, macam pak cik Blok 4, hasil tak menjadi. Ada kira-kira lapan lot pokok kelapa sawit di tanam di atas kawasan berbatu atau batu kapur. Mana nak bagi hasil yang baik.

“Berapa tan sawit sahaja yang boleh dihasilkan dan ini menjejaskan pendapatan kami. Kini ditambah dengan harga sawit jatuh, pak cik hanya mendapat hasil hampir RM560 sahaja,” katanya.

Itu sebahagian daripada keluhan antara 580 peneroka di felda berkenaan, ada peneroka yang telah meninggal dunia dan hasil kebun serta 'hutangnya' diteruskan oleh pewarisnya sama ada isteri atau generasi kedua.

Sinar Siasat berpeluang melihat penyata pendapatan bulan September Zakaria dan mendapati pendapatan yang diperoleh adalah RM552.55.

Menurutnya, susulan pendapatan yang tidak memuaskan, jumlah potongan hutang tidak dibuat oleh pihak Felda.

“Tak boleh nak bayar hutang pun, kali terakhir pak cik tahu hutang pak cik dengan felda ni dah cecah RM100,000... tapi pak cik tak pernah dapat tengok penyata hutang,” katanya.

“Ada juga desak nak tengok penyata hutang enam bulan sekali, nak tengok hutang baja, sara hidup tapi itulah memang tak pernah dapat penyata.

Zakaria berkata, dia kini juga bimbang hutang berkenaan akan terus diwarisi oleh anak-anaknya pula.

“Hasil tak menjadi itu satu hal, tapi bagi kebun yang hasilnya menjadi ada juga tiba masanya hasil tak dapat dibawa keluar kerana buruh tiada,” katanya.

Menurutnya, kegagalan membawa hasil keluar itu juga menjejaskan pendapatan peneroka dan sesuatu harus dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Bagi Saidin Nah, 73, peneroka kini tidak boleh lagi mengharapkan duit hasil tanaman memandangkan pada setiap bulan, peneroka hanya berpeluang memperoleh pendapatan sekitar RM500 hingga RM600.

“Hutang peneroka pun boleh dikatakan semuanyasudah sekitar RM104,000. Dulu tanam getah, kini kelapa sawit pula.

“Masa hutang banyak, hasil tanaman pula tidak memuaskan. Macam mana nak bayar hutang? Soalnya.

Bagaimanapun, generasi kedua ketika ditemui Sinar Siasat menegaskan Felda perlu bertindak memastikan pengurusan kebun lebih sistematik dari sekarang.

Jika tidak, hutang peneroka akan makin bertambah dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Gurauan kasar namun penuh makna generasi kedua, katanya sampai berapa generasi pun hutang tak habis kalau tiada sistem pengurusan kebun yang tepat.

“Kegagalan pihak sebelum ini mengkaji kesesuaian tanaman di lot tanah berbatu kapur menyebabkan tanaman berisiko tak keluarkan hasil. Kalau tanam getah boleh lagi tanah jenis ni, tapi kelapa sawit tak sesuai, baja ditabur pun tak meresap ke tanah,” katanya.

KASIHANI NASIB PENEROKA                

Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Belara, Tepuh,  meminta kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah kejatuhan harga sawit dan getah yang berlarutan sejak sekian lama.

Ketuanya, Mohd Zin Embong berkata, rata-rata peneroka kini semakin terhimpit berikutan kejatuhan harga komoditi itu, di samping pengeluaran hasil yang berkurangan.

"Kita harap sangat kerajaan memberi perhatian yang lebih serius untuk tangani masalah yang dihadapi peneroka ketika ini.

"Ini kerana, hampir kesemua peneroka bergantung sepenuhnya kepada pendapatan daripada hasil kelapa sawit dan getah.

"Jadi, kami rayu agar kerajaan segera mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk menstabilkan kembali harga komoditi itu," katanya.

Jelasnya, ketika ini hampir kesemua peneroka Felda Belara terpaksa membuat pinjaman sara hidup sebanyak RM1,000 sebulan berikutan proses tanaman semula kelapa sawit dan getah yang baharu dijalankan.

"Sekurangnya-kurangnya dalam tempoh tiga tahun, baharu kita peroleh hasil kembali dan keadaan ini sangat menghimpit hidup kami.

"Justeru, kami berharap kerajaan terus memberi perhatian bagi membantu golongan peneroka yang kebanyakan terdiri daripada golongan berusia," katanya.

Katanya, ketika ini felda itu mempunyai kira-kira 40 peneroka generasi pertama dan selebihnya terdiri daripada generasi kedua.   

KEJATUHAN HARGA SAWIT MEMBIMBANGKAN             

Rata-rata peneroka di daerah ini mengeluh apabila berdepan trend kejatuhan harga kelapa sawit yang kian membimbangkan.

Jika bulan lalu, jualan komoditi itu sekitar RM420 untuk satu tan, namun sejak kebelakangan ini, ia menjunam teruk kepada RM370.

Bukan sahaja menimbulkan keresahan, malah jika kejatuhan ini terus berlaku, ia memberi kesan kepada golongan peneroka yang majoritinya bergantung kepada sumber berkenaan.

Peneroka dari Felda Aring 1, Ruzelan Romli berkata, hasil sawit kini hanya 'laku' dengan nilai RM370 satu tan.

"Majoriti peneroka di kawasan rancangan ini menyerahkan kerja-kerja pengurusan ladang kepada Felda dan hanya segelintir sahaja yang mengusahakan sendiri.

"Secara purata, setiap peneroka mampu mengeluarkan hasil sekitar 10 hingga 12 tan sebulan.

"Namun, bila harga sawit jatuh, ia benar-benar merunsingkan kerana bayaran yang diterima perlu ditolak hutang pinjaman rumah dan ta­nam semula," katanya.

Bagi anak peneroka dari Felda Chiku 5, Rushihan Amri Zakaria, sekiranya harga komoditi itu terus jatuh sehingga RM200 per tan, ia memberi kesan buruk kepada peneroka.

"Kini, harga sawit sekitar RM350 hingga RM380 sahaja dan tidak mustahil ia akan turun lagi apabila melihat situasi sekarang kerana bukan sahaja sawit,  malah getah juga berdepan situasi sama.

"Saya berharap kerajaan baharu bertindak dan melakukan sesuatu demi kelangsungan hidup ibu bapa yang semakin bimbang dengan situasi ini," katanya.

Sementara itu, peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap, Nik Mohamad Nik Chik, 70, berkata, situasi ini memberi impak kepada mereka yang baharu sahaja menikmati hasil tanam semula.

"Kami baharu sahaja menuai hasil sawit selepas projek tanam semula. Kejatuhan ini amat beri kesan kerana kita bergantung sepenuhnya hasil ladang.

"Kerajaan perlu melihat isu ini secara lebih serius kerana melibatkan soal kehidupan kami sebagai peneroka," katanya.