KOMUNITI transgender atau mak nyah beranggapan kontroversi isu penggunaan tandas membuktikan betapa masyarakat di negara ini  mendiskriminasi mereka dengan isu sekecil itu sedangkan belum lagi menyentuh keperluan lain terutama melibatkan peluang pekerjaan.

Sudahlah parah dengan polemik lesbian, biseksual, gay dan transgender (LGBT) menghantui masyarakat, tak semena -mena komuniti transgender atau lebih mudah disebut mak nyah, atau pondan melambung-lambung jadi popular hanya gara-gara kontroversi tandas.

Komuniti mak nyah kata mereka bukan minta hak tandas atau jamban, tetapi ada benda mereka mahu minta kepada kerajaan. Apa yang mereka mahu sebenarnya? Ikuti laporan Sinar Siasat minggu ini...

Komuniti transgender atau mak nyah beranggapan kontroversi isu penggunaan tandas membuktikan betapa masyarakat di negara ini  mendiskriminasi mereka dengan isu sekecil itu sedangkan belum lagi menyentuh keperluan lain terutama melibatkan peluang pekerjaan.

Aktivis transgender tempatan, Nisha Ayub berkata, rentetan isu berkenaan ada segelintir masyarakat menjadi  lebih agresif membenci komuniti mak nyah yang didakwanya berpunca akibat salah faham masyarakat berhubung tujuan sebenar wakil komuniti transgender itu bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, baru-baru ini.

"Bayangkan isu tandas sudah kecoh, menunjukkan betapa perit kehidupan komuniti mak nyah.

"Saya ingin jelaskan kekeliruan masyarakat. Sebenarnya kami tidak meminta apa-apa Hak Keistimewaan (Special Rights) seperti di barat.

"Tetapi kami mahu hak sama rata supaya komuniti mak nyah diberi peluang bersama masyarakat negara ini terutama melibatkan sektor pekerjaan supaya mereka tidak lagi terlibat sebagai pekerja seks," katanya.

Dakwa aktivis berkenaan, untuk menyara hidup golongan mak nyah ada yang terlibat  sebagai pekerja seks setelah gagal mencari pekerjaan  baik kerana diskriminasi masyarakat  termasuk golongan majikan di beberapa syarikat terhadap komuniti minoriti tersebut.

"Golongan mak nyah datang dari pelbagai negeri dan mereka tertumpu di bandar untuk mencari pekerjaan. Tetapi peluang mereka mendapat pekerjaan amat tipis kerana dinafikan  bukan saja dari segi penampilan tetapi rupa wajah.

"Sebagai contoh baru-baru ini, seorang mak nyah memohon pekerjaan sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat. Bila lihat dia seorang mak nyah, syarikat tersebut minta  surat pengesahan jika dia melakukan  pembedahan dan diajukan persoalan isu tandas.

"Permohonan mak nyah itu tidak dilayan pun. Sebagai aktivis saya sedang lihat kes ini untuk membantuntya," ujar Nisha sebagai memberikan contoh.

Tambah Nisha, dia tidak menafikan golongan mak nyah selalu terbabit dalam aktiviti seksual akibat tiada pilihan untuk menyara hidup serta cari makan apatah lagi dengan kenaikan kos sara hidup kebelakangan ini. 

Misalnya, golongan mak nyah hanya diberi pekerjaan dalam bidang 'make up' sedangkan mereka boleh memikul pelbagai bidang kerja jika diberi peluang.

"Majikan seperti kurang percaya dan tiada keyakinan bahawa seseorang mak nyah boleh memikul sesuatu pekerjaan. 

"Saya percaya kebanyakan mak nyah ditolak (kerja) kerana ada syarikat risau mengenai imej syarikat  mereka. Ini berlaku akibat kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat kita. Saya selalu terima keluhan daripada golongan mak nyah susah dapat kerja termasuk bantuan untuk berniaga," kata Nisha.

Tegas Nisha lagi, ini baru bercakap soal golongan mak nyah yang muda pada masa sama tidak dilupakan nasib komuniti mak nyah sudah berusia.

"Kebanyakan jika sudah berusia, ada dalam kalangan mereka ditolak oleh keluarga lalu menjadi gelandangan.

"Apabila mengadu dan minta bantuan kepada pihak kebajikan,  mereka diminta berubah. Contohnya,  jika minta duduk di rumah kebajikan, mereka terpaksa ubah penampilan kerana ditempatkan bersama penghuni lelaki. 

"Akhirnya mereka tak boleh ke mana, lalu menjadi gelandangan dan terbiar. Ada kalangan mak nyah pula disuruh berubah, akan mengikut paksaan itu kerana  terdesak tetapi dalam  jiwa mereka meronta-ronta," ujar aktivis berkenaan," ujar Nisha.

Sehubungan itu, komuniti trans perlu menjana pendapatan sendiri supaya tidak melakukan aktiviti seksual kerana ia berkaitan pemikiran stereotaip masyarakat bahawa golongan ini selalu terlibat gejala seks dan pencetus human immunodeficiency virus (HIV) serta Aids.

"Masyarakat menuding jadi kepada komuniti LGBT (lesbian, gay, dwiseks, dan transgender) sebagai penyebar HIV dan Aids sedangkan bagi golongan mak nyah, masyarakat perlu fikir siapa gemar mengambil (melanggan) mak nyah dalam 'industri seksual' ini. Lelaki biasa bukan?

"Tetapi begitu stereotaip apabila  kajian (penyebar HIV/Aids) hanya terarah kepada komuniti  mak nyah sedangkan mengikut logik, mereka adalah minoriti," ujar Nisha bersungguh-sungguh.

Kata Nisha, sebagai mewakili komuniti transgender, dia berharap kerajaan Pakatan Harapan membantu golongan mak nyah.

"Pandang isu komuniti mak nyah sebagai isu masyarakat dan bantu  komuniti ini supaya mereka mempunyai hala tuju serta mendapat perlindungan sebagai rakyat Malaysiam," ujar Nisha. 

Menyentuh isu semasa berkaitan kontroversi penggunaan tandas wanita dan orang kurang upaya (OKU), Nisha berkata, permasalahan itu juga perlu diperhalusi oleh kerajaan dan pemimpin politik tanpa memihak kepada sesiapa supaya tiada lagi spekulasi sedangkan ia menyepit golongan mak nyah.

 "Tak semua pondan guna tandas perempuan tetapi jika  ada guna tandas lelaki, lelaki pula terkejut. Ada mak nyah kena halau pula. Itu kadang-kadang  terpaksa guna tandas OKU atau bila di tempat awam, golongan mak nyah terpaksa tahan kencing sampai balik ke rumah kerana takut nak ke tandas," kata Nisha. 

Menyentuh ketakutan wanita kepada golongan mak nyah apabila berkongsi tandas Nisha berkata, tiada apa perlu ditakutkan kerana naluri seseorang mak nyah tiada lagi berkeinginan atu nafsu kepada seseorang perempuan.

Merujuk kepada isu naluri itu Nisha berkata, pihaknya bersedia berunding dengan pakar perubatan mengenai isu nafsu berkenaan. 

Mengenai sensiviti berkaitan aurat wanita Islam ketika berada di tandas pula Nisha berkata, mungkin boleh dicadangkan supaya ada satu bilik khas untuk  wanita Islam dan kerajaan perlu melakukan penelitian berhubung cadangan itu.

"Kami tidak menidakkan aurat perempuan lain. Tetapi kami mohon mereka memahami  keadaan kami dan sama-sama mencari jalan. Kami tidak minta lebih-lebih," akhiri aktivis berkenaan yang diberi pengiktirafan melalui Anugerah Wanita Berani Antarabangsa oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2016.