MUKADIMAH

ISU bebanan hutang serta himpitan harga komoditi sawit dan getah yang makin jatuh menjadi isu hangat  diperbualkan peneroka di seluruh negara.  Peneroka dan generasi kedua makin terkesan. Berikutan itu Sinar Siasat mendapatkan penjelasan Felda.

SINAR HARIAN    : Apakah respons Felda Technoplant atas dakwaan peneroka bahawa kehidupan mereka makin terhimpit?

FELDA    : Jawapan ini adalah untuk semua dan bukan hanya Felda Technoplant (FTP) sahaja. Harga sawit menurun disebabkan lebihan pengeluaran yang makin meningkat berbanding permintaan. Ini adalah realiti industri komoditi seperti sawit dan getah. Dengan itu, mustahaklah supaya kos perladangan dibuat 'most efficient'.

Kami bangga dengan FTP sebab kos perladangan mereka jikalau dibandingkan dengan purata yang lain di industri lebih rendah. Peneroka yang bersama FTP tentu tahu tentang fakta ini dan puas. Peneroka yang bersendirian adalah diantara yang terhimpit disebabkan kerendahan harga sawit sebab kos mereka tidak terkawal jikalau mereka betul-betul mengusahakan ladang mereka.

Bagaimana pun, untuk mengurangkan kesan harga CPO yang rendah ke atas peneroka, Felda mempunyai polisi gaji minima di mana jika pendapatan peneroka adalah kurang daripada RM1,000, potongan pembayaran pinjaman pembangunan kebun tidak akan dibuat.

SINAR HARIAN   : Terdapat beberapa peneroka lanjut usia mendakwa hutang mereka bernilai lebih daripada RM100,000. Boleh Felda Technoplant beri maklum balas berhubung perkara ini?

FELDA    : Peneroka yang berhutang lebih daripada RM100,000 tidak terlalu ramai. Mereka begitu disebabkan hutang pembesaran rumah dan ladang mereka dalam masa sebelum matang. Hutang mereka akan berkurangan apabila ladang mereka memberi hasil yang penuh nanti dan potongan dibuat secara automatik terutama jika mereka akan masih bersama Felda. Semasa ladang mereka belum matang mereka mendapat bantuan sara hidup dan pendahuluan hasil sekurangnya RM1000 sebulan untuk perbelanjaan.

SINAR HARIAN   : Bagaimanakah dari segi pendapatan peneroka ketika ini?

FELDA    :Dasar gaji minima ditetapkan kerajaan pada kadar RM1100 sebulan. Kebanyakan peneroka hidup dengan lebih sejahtera di rancangan Felda kalau dibandingkan dengan rakyat lain di bandar yang mendapat sekurang-kurangnya RM1000 sebulan. Jadi difikirkan dengan pendapatan begitu hidup peneroka yang bersama dengan FTP atau Felda (berasingan daripada mereka yang pilih keluar dari gabungan Felda) sepatutnya lebih selesa.

SINAR HARIAN   : Bagaimana dengan payslip hutang yang didakwa tidak ditunjukkan kepada peneroka?

FELDA    : Adalah tidak benar yang peneroka tidak menerima penyata hutang. Felda sentiasa menyediakan penyata hutang peneroka dan diedarkan melalui pejabat Rancangan setiap suku tahun. Penyata Hutang Peneroka terbahagi kepada dua iaitu Penyata Hutang Interim (penyata hutang yang belum dikunci) dan Penyata Hutang Dimuktamadkan (penyata hutang yang telah dikunci).

Penyata Hutang Interim adalah penyata hutang peneroka bagi tempoh tahun pertama hingga tahun kelapan semasa program tanam semula berjalan. Ianya akan dimuktamadkan pada tahun kesembilan selepas Pengurusan Rancangan Felda mendapat persetujuan bersama dengan Ahli Jawatankuasa Tanam Semula yang terdiri daripada peneroka rancangan yang terlibat dalam program tanam semula tersebut.

Penyata Hutang Interim dikeluarkan oleh Pengurusan Rancangan dan diedarkan kepada peneroka setiap suku tahun untuk semakan. Manakala penyata yang telah dimuktamadkan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat dan diedarkan oleh Pengurusan Rancangan pada setiap suku tahun. Peneroka digalakkan untuk membuat semakan penyata hutang di pejabat Rancangan masing-masing.

SINAR HARIAN   : Bagaimana dengan hasil ladang ketika ini?

FELDA    : Produktiviti kebun peneroka Felda ketika ini adalah lebih baik daripada purata kebangsaan di    mana sehingga Ogos 2018, penghasilan BTS peneroka Felda secara purata adalah 12.01 tan/ha berbanding purata kebangsaan bagi tempoh yang sama sebanyak 10.59 tan/ha.

SINAR HARIAN   : Apakah permasalahan dengan hasil ladang ketika ini?

FELDA    : Terdapat peneroka yang mengambil alih kebun daripada pengurusan Felda untuk diuruskan sendiri. Kos untuk menguruskan kebun peneroka bersama Felda akan menjadi lebih tinggi apabila luas kebun diuruskan berkurangan. Peneroka yang tidak menghantar hasil ke kilang FGV tidak boleh ditolak hutangnya. Untuk Felda sentiasa dalam situasi kewangan yang kuat, sepatutnya juga peneroka yang berhutang membayar balik dalam masa yang ditetapkan.

Terdapat sebilangan besar peneroka yang tidak mahu membayar balik hutang mereka langsung. Ini tidak adil kepada peneroka yang lain yang setia kepada tanggungjawab mereka dengan Felda, untuk menolong semua warga peneroka. Ada juga sebilangan Peneroka yang mengusahakan sendiri kebun juga tidak mematuhi standard Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) dan Malaysian Sustainable Palm Oil Certificate (MSPO). Apabila MSPO diwartakan sebagai kriteria wajib tahun hadapan, mereka tidak boleh lagi menghantar hasil ke kilang.    

Amalan GAP di kebun juga sukar dilaksanakan apabila terdapat peneroka menguruskan sendiri kebun.  Terdapat juga kes-kes di mana kualiti buah tandan segar (BTS) yang menurun disebabkan oleh serangan musuh dan penyakit selain kekangan tenaga buruh mahir.

SINAR HARIAN   : Apa usaha Felda untuk terus membantu peneroka dari segi jangka masa pendek dan panjang?

FELDA   : Kita semua mesti ingat Felda sebagai agensi Kerajaan dibawah Akta 474 beroperasi terutamanya untuk selalu meningkatkan hasil ladang peneroka yang bersama Felda dan membolehkan nilaian pengeluaran itu dari FGV setaraf dengan kontrak. Jadi mustahaklah Felda menguruskan tanaman semula dan "good agricultural practices (GAP)" kepada ladang peneroka itu.

Pengeluaran sawit atau getah setiap ladang peneroka itu mungkin ada perbezaan disebabkan taraf dan geografi tanah itu juga. Peneroka yang bersama FELDA atau FTP mendapat pengeluaran hasil yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan purata industri. Juga kos perladangan lebih rendah seperti dikatakan di atas.

Jadi dalam jangka pendek, petugas Felda di ibu pejabat dan terutamanya di rancangan termasuk FTP akan sentiasa mencari jalan untuk meninggikan hasil pokok dan mengurangkan kos.

Felda masih membuat beberapa perbelanjaan untuk bukan sahaja kesejahteraan komuniti tetapi lebih mustahak program program meningkatkan mobiliti sosial peneroka dan generasi baharu. Ini termasuk perbelanjaan meningkatkan taraf pendidikan di rancangan atau pun di luar seperti di MRSM Trolak,  asrama asrama Felda di luar rancangan dan biasiswa pengajian tinggi termasuk ke luar negara. Bersama ini ada juga beberapa rancangan untuk membolehkan tambahan kemahiran melalui skim keusahawanan dan lain lain.

Dalam jangka panjang, Felda sedang menyelidiki beberapa pilihan untuk kesejahteraan kehidupan peneroka di rancangan, ramai di antara mereka yang sudah tua (termasuk waris mereka), apakah kemahuan mereka.

Sebab ramai di antara mereka hanya bersikap 'tuan rumah' untuk tanah dan tidak seperti dahulu mengerjakan ladang mereka sendiri. Di antara mereka dan Felda, kita mesti mencari jalan yang agak lebih sesuai untuk zaman sekarang dan ke hadapan. Sama ada mereka masih akan berhutang atau tidak terpulanglah kepada keadaan dan pilihan mereka nanti.

Kami di Felda sedang membuat kajian yang komprehensif tentang pilihan-pilihan ini. Juga kami wajib berbincang untuk mendapat persetujuan Kerajaan terlebih dahulu untuk pilihan yang sewajarnya untuk warga peneroka.

SINAR HARIAN    : Bagaimana usaha Felda  dalam membantu generasi baharu Felda?

FELDA    : Felda telah sejak sekian lama menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu generasi baharu FELDA dari segi peluang pendidikan serta penglibatan dalam program-program kesukanan. Antara inisiatif yang disediakan adalah termasuk asrama Semai Bakti Felda (Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuantan), MRSM Felda (Trolak), Dana Khas Pelajar Cemerlang Felda, pengurangan 30 peratus pinjaman PTPTN, Skim Insentif Anak Peneroka, Akademi Bola Sepak Felda, Program-program komuniti bersama MBFM, Projek Sentuhan Kasih Felda dan Program-program keusahawanan. Seperti dikatakan di atas, tugas utama Felda adalah membolehkan peningkatan mobiliti sosial warga peneroka. Sudah banyak kesan usaha-usaha Felda yang berjaya.

Ramai 'generasi baharu'  warga peneroka telah berhijrah keluar rancangan, mereka meningkat dalam struktur masyarakat dan berjaya ke peringkat tinggi seperti menjadi CEO dalam syarikat, menjadi Ketua Setiausaha dalam Kerajaan atau pun berjaya dengan syarikat tersendiri. Tidak payahlah kami namakan mereka.

Juga didalam agensi dan anak syarikat Felda pula, lebih daripada 50 peratus petugas adalah anak, cucu atau ipar warga peneroka. Tugas pemimpin Felda sekarang adalah untuk memberi bimbingan kepada semua mereka supaya kita memenuhi misi baru Felda, iaitu "Menambah nilai untuk kepentingan peneroka".

Felda sentiasa mendapatkan pandangan mereka, setelah berbincang dengan orang orang tua mereka di Rancangan, memberi beberapa cadangan yang mungkin sesuai untuk keadaan semasa dan pada masa hadapan.