Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi jaminan bahawa tanah perkuburan Islam yang sedia ada dijangka dapat menampung jenazah dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Orang ramai tidak perlu risau berkenaan tanah kubur kerana sudah menjadi autoriti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam memastikan tanah perkuburan dapat menampung jenazah dalam tempoh yang panjang.

Jais terlebih dahulu sudah membuat semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka sudah mewartakan tanah perkuburan tertentu yang kemudiannya diserahkan kepada pihak PBT bagi mengurus dan mengawal selia.

Datuk bandar, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, tidak timbul isu tanah perkuburan tidak cukup di kawasan tadbiran MBPJ.

“Sekarang MBPJ sedang menguruskan dua tanah perkuburan Islam iaitu di Seksyen 9, Kota Damansara dan PJS4, Taman Medan berbanding lima sebelum ini iaitu di Seksyen 19/1, Kampung Tunku dan PJS 5/1 di Bukit Tandang.

“Tiga tanah perkuburan berkenaan tidak lagi beroperasi selepas ia ditutup atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Menurutnya, tanah perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara mempunyai keluasan tanah 50 ekar membabitkan plot A dan B.

“Setiap plot mempunyai 25 ekar bagaimanapun plot A diramalkan akan penuh pada penghujung tahun hadapan.

“Setakat ini masih terdapat kira-kira 3,000 unit bagi tapak kubur dewasa yang masih kosong,” katanya.

Justeru itu, katanya, MBPJ bersedia dengan plot B sebagai alternatif bagi menampung jenazah yang bakal penuh di plot A.

“Bagi membangunkan plot B, MBPJ telah membelanjakan kos keseluruhan RM1.6 juta yang bermula 3 Julai lalu dan dijangka siap pada 12 Mac tahun hadapan.

“Mengikut anggaran kita, plot B mampu menyediakan 2,500 lot kubur dewasa pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan rekod, purata 50 jenazah dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan setiap bulan.

Berhubung tanah perkuburan Islam PJS4, Taman Medan pula, Mohd Azizi berkata, keluasan tanah berkenaan adalah 16.26 ekar.

“Di tanah perkuburan ini juga mempunyai plot A dan B, plot A mempunyai keluasan kira-kira 7.4 ekar.

“Plot B pula adalah 8.86 ekar yang mana masih terdapat 3,000 unit tapak yang masih kosong lantaran kawasan berkenaan yang kurang padat,” katanya.

Menurutnya, mengikut purata bulanan, hanya 25 jenazah dikebumikan di tanah perkuburan tersebut.

“Kita yakin tanah perkuburan ini masih dapat menampung jenazah dalam tempoh lapan tahun lagi.

“Sebenarnya MBPJ telah merancang keperluan ini lebih awal bagi membolehkan tanah perkuburan dapat menampung jenazah pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MBPJ mempunyai unit perkuburan yang bertanggungjawab menguruskan tanah perkuburan secara sistematik.

“Kita bukan sahaja mahukan suasana perkuburan lebih harmoni bahkan kita turut menetapkan spesifikasi dalam penggunaan batu nisan, kepok dan sebagainya agar ia kelihatan seragam di kedua-dua tanah perkuburan berkenaan.

“Kita menggariskan penggunaan kepok mengikut ketinggian satu kaki yang mana bagi jenazah dewasa enam kaki lebar manakala kanak-kanak tiga kaki lebar,” katanya.

Katanya, tanah perkuburan yang diuruskan MBPJ juga mempunyai sistem bagi membolehkan waris mengesan lokasi jenazah dikebumikan.

“Kita menggunapakai sistem E-pusara, melaluinya tersimpan rekod tarikh kematian, nombor kod dan lokasi tapaknya.

“Maklumat itu ada tertera pada batu nisan dan sistem ini sudah dilaksanakan di peringkat MBPJ,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azizi berkata, pihak MBPJ tidak mempunyai perancangan untuk membuat tanah perkuburan bertingkat selepas melihat tapak kubur yang masih mencukupi.

“Kita tak ada rancangan ke arah itu sebab tanah kita masih banyak dan luas.

“Sebenarnya kita juga sudah letak tanda batu di kedua-dua kubur itu jadi kita tahu berapa lagi jumlah yang masih kosong.

“Tambahan pula, kita sudah membuat ketetapan bahawa setiap pembangunan besar yang mahu dilaksanakan di kawasan MBPJ, pemaju perlu menyediakan tanah untuk tujuan tanah perkuburan,” katanya.