PENEROKA meminta Felda untuk membuat kajian  kesesuaian jenis tanah terlebih dahulu sebelum melaksanakan  tanam semula pada masa depan.

Biro Ladang Felda Gedangsa, Zainuddin Ibrahim berkata, langkah berkenaan bagi mengelakkan peneroka terpaksa menanggung kos tanam semula serta kerugian hasil tanaman tidak memuaskan walaupun untuk tempoh lebih 10 tahun kerana faktor tanah tidak sesuai.

Menurutnya, dia mengambil contoh di Felda Gedangsa yang sebelum ini membuat tanaman getah dan bertukar kepada tanaman kelapa sawit.

“Siebelum ini tanam getah, bila tanam semula tanam kelapa sawit… ada faktor-faktor tertentu yang menyebabkan pokok sawit tak subur, tak datangkan hasil kepada kami (peneroka) tetapi kos pembangunan semua kami tanggung.

“Ada tiga blok yang mana satu blok ada 20 orang peneroka dengan tanah masing-masing berkeluasan 10 ekar… dapat hasil ladang 18 tan satu bulan, bila kita tengok kawasan tanaman tu memang tak sesuai kerana kawasan itu kawasan batu kapur,” katanya.

Zainuddin berkata, pada masa kini pokok berusia 14 tahun di kawasan batu kapur berkenaan seolah-olah berusia enam ke tujuh tahun.

Menurutnya, tinjauannya secara rambang beberapa hari lalu mendapati 40 buah pokok kelapa sawit menghasilkan buah muda, manakala  20 pokok pula tak ada buah.

 "Macam mana 20 peneroka ni nak hidup tanggung hasil macam ni? Memang tanah tak sesuai, pokok tak sihat dan pembajaan juga tak boleh buat.

“Selepas ini, Felda perlu ada kajian terlebih dahulu sebelum tanam semula dibuat supaya hasil tanaman memuaskan," katanya.