PASANGAN berhadapan masalah rumah tangga dinasihatkan tidak berkongsi permasalahan  bersifat peribadi kepada pihak ketiga supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Selangor, Salwana Ahmad Dahlan berkata, langkah  sebaiknya adalah mengadu perihal permasalahan kepada pejabat agama.

“Kami akan beri rundingan dan khidmat nasihat serta apakah cara terbaik yang boleh dilakukan oleh pasangan dalam mengatasi masalah dihadapi,” katanya.

Menurutnya, jika pasangan berkongsi atau meluahkan masalah dengan orang yang salah, pihaknya bimbang masalah rumah tangga gagal menemui jalan penyelesaian.

“Kita bimbang masalah lain pula akan timbul lebih-lebih lagi kepada rakan berlainan jantina.

“Bermula daripada perkongsian atau luahan masalah, lama-kelamaan ia  mendatangkan rasa simpati dan tarikan kepada si pendengar sehingga wujud rasa cinta antara kedua-duanya.

“Maka di sinilah wujudnya orang ketiga dalam perhubungan suami isteri yang menjadi masalah lebih besar.

”Seboleh-bolehnya hindarkan diri daripada meluahkan atau berkongsi perasaan atau cerita kepada rakan-rakan yang kurang dipercayai kerana khuatir cerita itu akan ditokok tambah yang akhirnya terdedah kepada fitnah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pasangan yang berusia lingkungan 26-35 tahun paling tinggi membuat aduan membabitkan tempoh perkahwinan kurang lima tahun.