ANDA orang ketiga yang benar-benar ikhlas boleh berkongsi suami atau diktator yang merosakkan rumah tangga insan lain?

Baiklah Sinar Siasat minggu ini, merungkai isu kewujudan orang ketiga yang  sering ditohmah sebagai ‘penceroboh rumah tangga’ kerana  menyebabkan keruntuhan institusi keluarga atau perceraian orang lain.  

Bayangkan statistik perceraian bagi Januari hingga Julai 2016 mencatat angka 48, 077 kes yang mana  11.8 peratus berpunca akibat kecurangan wanita. Bukan suatu jumlah yang boleh dianggap sepi dan kalau sudah namanya curang, pastinya ia berkaitan dengan orang ketiga.

Bukanlah golongan suami tidak ada yang curang namun ada kes direkodkan dalam kategori  lelaki tidak bertanggungjawab iaitu sebanyak 15. 2 peratus bagi tempoh statistik yang sama.  

Antara punca perceraian adalah penangan orang ketiga. Pokoknya, kedatangan orang ketiga ini ikhlas atau sekadar perosak? Jika perosak rumah tangga, maka tahukah anda bahawa  terdapat undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya terhadap mereka?

Siapa orang ketiga ini? Mengikut Seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 orang ketiga adalah merujuk  kepada mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri, manakala seksyen 38 akta sama pula menyatakan mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah suatu kesalahan.

Di Selangor pula  terdapat tiga peruntukan melibatkan orang ketiga iaitu Seksyen 32, 33 dan 34 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

Mana-mana pihak yang memujuk lari suami atau isteri, mana-mana pihak menghalang suami isteri menjalankan tanggungjawab dan mana-mana pihak menghasut memujuk suami isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab dalam rumah tangga boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

 

Akta ini diguna pakai untuk individu keji termasuk kekasih gelap yang terbukti meruntuhkan rumah tangga orang lain. Mereka ini  boleh didakwa  menerusi peruntukkan undang-undang itu, seterusnya dihumban ke dalam  penjara.

Namun selepas undang-undang ini digubal, siapa orang ketiga yang pernah didakwa di mahkamah? Setakat ini belum ada!

Peguam syarie maklumkan, ada menerima aduan namun klien mengatakan proses itu sangat leceh dan sukarnya pembuktian untuk dipanjangkan kepada peringkat  pendakwaan kes di mahkamah syariah.

Banyak kecurangan dikesan menerusi media sosial namun cukupkah sekadar tunjuk mesej SMS, Whatapps, Twitter atau Facebook untuk pembuktian kes?

Apa gunanya kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar untuk mengurangkan kadar penceraian jika peruntukan seperti ini pun tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Salah siapa? Institusi mana yang perlu bertindak? Apapun untuk penjelasan yang mudah Sinar Siasat mengambil satu situasi untuk diperbincangkan iaitu masalah kehadiran orang ketiga yang membelenggu para isteri.

‘Rampas suami orang tak semestinya menang’

Terdapat beberapa situasi perlu diambil kira dan ditangani secara berkesan dalam membicarakan isu kehadiran orang ketiga dalam sesebuah rumah tangga.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie Suzana Ghazali berkata, misalnya orang ketiga jika masih berstatus isteri orang ternyata melakukan perbuatan yang salah mengikut syariat agama.

“Apa juga masalah dengan suami, pastikan diselesaikan terlebih dahulu hingga sah status bukan lagi isteri orang termasuk bukan dalam eddah.

“Lepas itu barulah boleh nak teropong cari cinta baru. Kepada lelaki yang gilakan isteri orang  pula memang, tidak terfikirkah kalau dia boleh curang dengan suaminya, maka dia juga boleh curang dengan anda untuk orang lain pula,” kata kaunselor terkenal dalam isu rumah tangga berkenaan.

Sementara itu kata Suzana, bagi mereka yang solo sama ada anak dara pastikan anda memang nak berkongsi dan bukan mahu mendominasi keadaan.

“Jangan sampai kekasih itu mengabaikan isteri dan anak-anaknya yang sedia ada. Kalau rasa tak nak kongsi, sila angkat kaki dan carilah lelaki yang bujang bukan sibuk hendak mengacau suami orang,”  katanya.

Tambah Suzana, seseorang yang masih ‘single’ perlu bersikap jujur dan  telus iaitu mengaku ada hubungan dengan suami orang serta merancang untuk berkahwin supaya isteri sedia ada mengetahui berlakunya poligami.

“Namun pastikan bakal suami itu memang layak berpoligami, Jangan sampai nanti menganiaya orang lain atau diri sendiri, akhirnya.

“Selain itu bersedialah untuk kehilangan kerana jangan ingat anda yang baru maka anda menang segalanya,” akhiri Suzana.