Hasil risikan mendapati jumlah warga asing memandu kenderaan barangan meningkat berdasarkan pergerakan lori atau kontena dipandu mereka membuktikan banyak syarikat menggaji warga asing sebagai pemandu.

Pemandu warga asing ini dikesan keluar dari kilang atau pelabuhan secara tidak tentu tempoh masa bergerak di atas jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib  berkata, dalam situasi JPJ berdepan majikan yang degil tak hirau amaran, operasi mereka diganggu kumpulan ‘tali barut’ atau  tonto.

Bayangkan kumpulan tonto ini dilihat seperti lebih berkuasa dan menjadi dalang kepada kegagalan kebanyakan operasi mencegah jenayah dan penguatkuasaan dibuat JPJ.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan sampai ramai ramai mati katak

ARTIKEL BERKAITAN: Majikan tamak haloba cetus masalah

ARTIKEL BERKAITAN: Aplikasi Zello tonto bocorkan maklumat JPJ

ARTIKEL BERKAITAN: Warga asing ancam nyawa pengguna

ARTIKEL BERKAITAN: Teruk betul, licik beri alasan ketika ditahan

Jika dilihat tindak tanduk tonto, mereka seolah-olah tidak gentar dengan undang-undang dan sesuka hati mengekori kenderaan pegawai penguat kuasa.

Selain itu, mereka turut menunggu di hadapan pejabat atau jabatan penguat kuasa hingga adakala operasi JPJ gagal akibat kebocoran maklumat daripada tonto.

Ditanya cabaran JPJ ketika berdepan dengan tonto, Nazli berkata, adakala kumpulan ini bertindak agresif yang mana anggota dan pegawainya pernah dikepung dan mereka melakukan provokasi.

“Ada antara tonto atau juga pemandu lori bertindak luar kawalan atas faktor pengaruh dadah. Jika mereka terlalu agresif, kita juga akan dapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas selain tindakan Akta Pencegahan Jenayah (Poca),” katanya.

Jelasnya lagi, tonto hari ini bergerak aktif dengan menggunakan aplikasi Zello bagi mengganggu operasi JPJ, namun itu tidak menghalang pihaknya untuk terus menjalankan tugas.

“Kita masih membuat tangkapan biar pun mereka ada aplikasi itu. Ia tidak memberi impak kepada kita. Bagaimanapun, kita akan tetap memastikan pegawai dan anggota bekerja dalam keadaan selamat,” tegasnya.