RUMAH TANGGA yang kami bina selama 20 tahun akhirnya runtuh jua angkara orang ketiga, demikian pengakuan ibu tunggal anak tiga yang mahu dikenali sebagai Tania Kamaruddin (bukan nama sebenar), 40.

Menurut Tania, rumah tangga dibina bersama bekas suami ketika berusia 18 tahun hancur sekelip mata selepas kehadiran orang ketiga yang mengaku mahu sehidup semati bersama bekas suaminya.

“Gara-gara kehadiran wanita yang juga teman sekerja bekas suami menyebabkan kehidupan saya terumbang ambing dan sentiasa ditemani air mata hampir setahun.

“Saya mengharapkan rumah tangga dibina kekal sehingga akhir hayat, namun siapa sangka ia runtuh di tengah jalan,” katanya sebak.

Menceritakan detik-detik kejadian itu, Along berkata, bekas suaminya yang terkenal dengan sikap baran secara tiba-tiba menampakkan perubahan ketara dari segi sikap, perlakuan dan layanan terhadapnya.

“Saya mula mengesyaki sesuatu dan cuba memeriksa telefon bimbit milik suami, alangkah terkejutnya saya menemui mesej-mesej cinta bersama seorang wanita.

“Saya mendapatkan penjelasan daripadanya namun saya dimarahi dan dipukul secara bertubi-tubi, lebih membuatkan hati saya remuk apabila dia mengakui mencintai wanita tersebut,” katanya.

Pada masa sama, katanya, dia turut menghubungi wanita yang masih bujang itu bagi mendapatkan penjelasan namun ternyata wanita itu mengaku mencintai bekas suaminya dan tidak sanggup kehilangan lelaki berkenaan.

“Saya minta bekas suami buat pilihan sama ada saya atau wanita itu, dia pilih saya namun hubungan kami tidak lagi seperti dahulu.

“Saya mula merasa hubungan suami isteri kami semakin dingin dan kami juga tidur berasingan selama hampir setahun, dia juga tidak menampakkan usaha memujuk saya atau mahu membaik pulih hubungan kami yang asalnya dibina atas rasa cinta.

“Ketika itu saya masih berharap dia cuba untuk memujuk dan membina semula kedudukan rumah tangga kami yang retak menanti belah namun sebaliknya berlaku angkara sikapnya  ego dan tidak mahu berubah,” katanya.

Selepas berfikir panjang dan mengambil kira perasaan anak-anak, wanita ini membuat keputusan untuk bercerai.

"Saya rasa rendah diri, tercari-cari salah sendiri hingga diperlakukan demikian, hidup saya sentiasa bergelumang air mata, kekecewaan, kepedihan, kesengsaraan dan lemah segala-galanya tambahan lagi saya tidak bekerja pada masa itu.

“Kemudian saya cari kerja. Alhamdulillah... hampir setahun tempoh perceraian hati saya makin kuat, tabah dan mula menerima kenyataan bahawa dia bukan jodoh terbaik,” akuinya.

Berkenaan tindakan yang boleh diambil terhadap orang ketiga, dia berkata, memang bersetuju jika tindakan itu dilakukan namun dalam kes yang menimpanya, kesilapan itu bukan 100 peratus melibatkan orang ketiga yang menjadi perosak kepada rumah tangganya.

“Tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi sebaliknya dalam kes ini wanita berusia 30 an dan bekas suami, kedua-duanya terlibat memainkan peranan.

“Saya rasa lebih elok jika kedua-duanya dikenakan tindakan, pada pandangan saya orang ketiga perlu diambil tindakan manakala bekas suami pula diberikan kaunseling.

“Jika kesalahan terus diletakkan kepada orang ketiga semata-mata saya nampak ia tidak akan menemui jalan penyelesaian lebih-lebih lagi jika suami itu seorang kaki perempuan.

“Wanita boleh datang dan pergi silih berganti dalam hidupnya pada bila-bila masa, jadi sebaiknya tindakan itu perlu dikenakan kepada kedua-dua pihak baru adil,” katanya.

‘Suami tambah isteri, cerai saya hamil anak kelapan’

BAYANGKAN jika diceraikan suami ketika hamil, tentunya sedih bukan kepalang dan itulah situasi dihadapi Suraya Abdullah (bukan nama sebenar), 45, atau lebih mesra disapa kak Sue yang diceraikan suami angkara kehadiran orang ketiga, kira-kira 15 tahun  lalu.

Lebih menyedihkan, dia  diceraikan suami ketika mengandung anak kelapan.

Menceritakan detik awal sebelum bercerai, kak Sue berkata, suami jatuh cinta dan  mengahwini seorang kerani, lalu dia hidup bermadu ketika berusia 21 tahun yang mana ketika itu mereka mempunyai  dua anak yang kecil.

“Saya terima takdir suami nikah secara sindiket dengan bayaran RM3,000 di Gombak tanpa pengetahuan saya dan terus jalani kehidupan bersama dia.

“Setiap kali saya hamil, saya berharap perangai suami yang memang kaki perempuan itu berubah tetapi dia tidak berubah sehingga saya hamil anak kelapan,” katanya.

Menurutnya, sekali lagi hatinya hancur  apabila mendapat tahu suaminya berkahwin dengan seorang lagi wanita, kali ini ini dengan wanita lebih berusia  daripada suami atas alasan  simpati kepada nasib wanita itu yang yatim piatu.

 

“Kerana tidak dapat menahan tekanan perasaan dan sikap suami yang mengabaikan pemberian nafkah kepada saya dan anak-anak, kami berpisah secara baik.

“Saya tidak pernah lupa apa dia sudah buat pada saya cuma saya tak suka simpan dalam hati kerana ia akan merosakkan hati saya dan memberi pengaruh negatif kepada anak-anak.

“Kejadian itu sebenarnya jadi pengajaran buat saya, memang saya berharap jodoh akan kekal sampai bila-bila namun hubungan itu tidak kekal dan terputus di tengah jalan angkara sikapnya yang kaki perempuan dan kehadiran orang ketiga,” katanya.

Hukumlah orang ketiga perosak rumah tangga’

ORANG KETIGA yang menyebabkan berlaku perceraian kepada sesebuah pasangan itu perlu dikenakan tindakan undang-undang jika terbukti beliau mempunyai niat untuk meruntuhkan mahligai yang dibina pasangan tersebut.

Ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Mariana Zulkafli (bukan nama sebenar) 50 an, berkata, jika terbukti seseorang itu sama ada wanita mahupun lelaki bersabit perbuatan itu, dia perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Tindakan itu penting bagi memberi pengadilan kepada pasangan suami atau isteri yang terkesan selepas ditinggalkan pasangan angkara orang ketiga.

“Melalui tindakan itu, mangsa yang menerima nasib malang dapat menegakkan hak mereka yang dikhianati oleh orang ketiga yang cuba merampas pasangan mereka hingga menyebabkan kehidupan sengsara dan menderita bersama anak-anak,” katanya.

Pada masa sama, dia tidak menafikan kehadiran orang ketiga  ada berpunca daripada kesilapan pasangan masing-masing yang kurang memberi tumpuan antara satu sama lain.

Dia yang sudah berpisah dengan bekas suami berbelas tahun lalu mengakui, kehadiran orang ketiga mahligai yang dibina runtuh meskipun ia menjangkau tempoh berpuluh tahun.