“Kami selfie tak kacau sesiapapun, aku yang selfie engkau yang panas... kenapa?" Demikian sindiran pedas sekali gus pengakuan jujur seorang kaki mengambil gambar swafoto, Mohd Shah Rizal Shol Hadli, 40.

Bapa kepada dua cahaya mata ini mengaku gemar berswafoto antara dua dan tiga kali sehari namun perbuatannya itu tiada kaitan dengan masalah sakit jiwa atau mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain di laman sosial.

“Saya suka selfie bukan sebab saya sakit jiwa, tetapi mereka di luar sana yang tak puas hati tengok orang berselfie tu sebenarnya ada  masalah sakit jiwa.

“Jadi saya minta mereka bersihkan jiwa dan hati, terima hakikat serta hormati pendirian orang yang suka berselfie dengan seadanya kerana ia hak dan kegemaran masing-masing, “Sindirnya pedas berikutan terdapat kenyataan mengatakan individu suka mengambil gambar swafoto adalah mereka yang mengalami masalah mental.

Sebagai kaki swafoto, Mohd Shah yang juga seorang Penghulu Mukim Teluk Panglima Garang menegaskan, perbuatan berswafoto juga adalah aktiviti yang langsung tidak mengacau orang sekeliling, jadi ia tidak perlu dipersoalkan.

“Kita bukan kacau mereka, tapi kami selfie sebab pilihan sendiri  untuk meluahkan ekspresi pada ketika itu (masa swafoto).

“Bila kita muat naik gambar selfie di laman sosial, kalau suka mereka boleh ‘like’ dan kalau tidak suka jangan ‘like’.

“Aku yang selfie engkau yang panas... kau dah kenapa?,” sindirnya yang menolak tanggapan si kaki swafoto tergolong orang sakit jiwa.

“Orang yang anggap kaki selfie orang yang sakit jiwa sebenarnya dia yang ada masalah jiwa kerana dia tidak boleh tengok orang lain senang dan bahagia.

“Selfie cara atau luahan seseorang itu mengekspresi kesedihan dan kegembiraan masing-masing bukannya sebagai penunjuk aras bahawa dia kesunyian atau perlukan perhatian dan kurang kasih sayang,” katanya.

Sementalahan lagi katanya, terdapat segelintir pihak yang melabelkan individu kerap swafoto sebagai gila, bahkan bertindak mengecamnya walhal pada masa sama dia turut berswafoto dan mengambil langkah yang sama memuat naik gambar di laman sosial.

“Perbuatan mereka itu saya nampak lebih kepada cemburu dan tidak boleh lihat rakan-rakan lain senang dan bahagia.

“Saya selfie tidaklah sampai mendorong saya menukar telefon canggih setiap bulan.

“Selagi tidak rosak saya akan pakai gajet itu, saya tidak obses kepada telefon semata-mata untuk selfie.  Saya berselfie seadanya dan tak kan ‘edit’ gambar saya, “ katanya.

Jadi katanya, kaki swafoto tidak perlu berasa takut dengan kecaman orang lain selagi ia tidak membahayakan diri sendiri dan sekeliling.