GURINDAM , syair, pantun, nazam dan lain-lain adalah beberapa genre puisi tradisional Melayu yang telah lama berkembang dan merupakan salah satu warisan yang tidak ternilai dalam konteks dunia persuratan Melayu.

Syair Perahu oleh Hamzah Fansuri dan Gurindam 12 oleh Raja Ali Haji merupakan dua contoh karya agung yang dihasilkan ilmuwan dan pujangga Melayu silam.

Karya-karya ini mempunyai makna yang mendalam dan mengandungi inti pati ajaran Islam dan tunjuk ajar Melayu. Bait-bait puisi diatur sedemikian indah dengan bahasa yang amat puitis.

Dalam tradisi persuratan Melayu karya-karya ini dipersembahkan dalam bentuk manuskrip dan kini karya-karya agung ini terpelihara di institusi-institusi awam yang bertanggungjawab.

Karya-karya ini disalin dengan menggunakan seni khat yang indah.

Gurindam dan syair juga dialunkan dalam bentuk lagu-lagu tradisi dalam lingkungan istana sehinggalah di kalangan rakyat jelata.

Manakala seni khat pula merupakan sebahagian penting warisan seni rupa Melayu yang berkait rapat dengan tradisi persuratan.

Atas kesedaran inilah, idea menganjurkan Pameran Nuqtah III - Jalinan Dua Tradisi: Puisi Melayu dalam Keindahan Seni Khat tercetus.

Melalui pameran ini, khattat dan pelukis dapat menjadikan puisi Melayu sebagai subjek karya.

Usaha ini dapat mendekatkan ahli-ahli Nuqtah kepada warisan kebudayaan Melayu. Karya-karya yang dihasilkan dapat menjadi satu usaha kesinambungan penyalinan puisi-puisi Melayu yang sebelum ini terdapat dalam manuskrip Melayu.

Pameran ini juga dapat mempromosikan kembali tulisan Jawi sebagai medium penyampaian ilmu dan sastera yang penting dalam sejarah bangsa Melayu.

Pengunjung dapat menghayati bait-bait puisi yang indah dan sarat dengan pengajaran serta dapat membaca bait-bait puisi tersebut dalam tulisan Jawi yang ditulis menggunakan pelbagai gaya seni khat.

Antara gaya-gaya seni khat yang digunakan dalam karya-karya dalam pameran ini adalah seni khat Nasakh, Thuluth, Reqa’ah, Diwani, Nasta’liq dan Kufi. Keseluruhan karya menampilkan seni khat tradisional dalam pelbagai bentuk persembahan.

Tampil karya kerohanian dan ilmiah

Seramai 16 khattat dan pelukis yang terlibat dalam Pameran Nuqtah III ini. Mereka terdiri Mohd Fadil Sulaiman, Zulfikri Mohd Sobri, Muhammad Firdaus Mahadi, Muhammad Ekhsan Mohd Haniff, Mohd Zahamri Nizar, Ahmad Rajaei Awang, Ainun Jariah Ya’acob dan Norussalam Bain.

Kemudian, Zulhelmi Mohd Sobri, Siti Hawa Zainal Abidin, Muhammad Hasif Paimin, Mohd Fathy Rosli, Mohd Yazid Misdi, Umar Abdul Fatah, Mohd Hisyamuddin Ramli dan Mohd Hafizuddin Mohamad Rasid turut menjayakan pameran berkenaan. Pameran yang berlangsung dari 13 Jun hingga 31 Julai di Galeri Shah Alam dianjurkan Galeri Shah Alam dan Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor.

Kurator pameran, Mohd Zahamri berkata, pameran bertujuan memartabatkan seni khat berdasarkan kaedah tradisi dalam konteks seni rupa sezaman, mengangkat karya puisi Melayu tradisional ke dalam karya seni rupa dan seni khat serta melestarikan tulisan Jawi sebagai salah satu identiti seni rupa Malaysia dan seni khat tempatan.

Ujarnya, seni khat kini tidak lagi seperti dulu iaitu semakin terpinggir di telan arus zaman sebaliknya seni kaligrafi Islam ini sudah berkembang maju mengikut arus pemodenan.

Ekoran itu, penganjuran pameran sebegini sangat tepat pada masanya kerana masyarakat sekarang memang dahagakan ilmu-ilmu agama dan karya-karya berkonsepkan islamik untuk diri sendiri.

Beritahu Mohd Zahamri, seni kaligrafi Islam atau lebih dikenali sebagai khat itu adalah santapan terbaik pancaindera untuk merehat dan menajamkan minda seseorang.

Justeru, pameran sebegini harus dikunjungi oleh semua orang dalam mendekati diri dengan khat dan tulisan jawi di samping menerima karya khat sebagai lonjakan baru dalam seni rupa Malaysia

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :