JOHOR BAHRU - Orang ramai dinasihatkan berwaspada sekiranya didatangi mana-mana individu yang mengaku  pegawai kastam untuk mengutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Dalam satu kes di Johor Bahru, seorang lelaki ditahan kerana menyamar sebagai pegawai kastam yang menipu dua mangsa melibatkan kerugian kira-kira RM373,000.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T Subramaniam bekata, lelaki berusia 2 tahun itu ditahan di Taman Pulai Utama minggu lalu.

Beliau berkata, setiap pegawai kastam mempunyai kad kuasa masing-masing dan wajib dibawa ke mana-mana sahaja.

"Setiap pegawai dan anggota wajib ada kad ID (kad kuasa), kalau mereka tak dapat kemukakan ID saya nasihatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan mereka.

"Jangan buat bayaran di situ (premis) kerana kita tak mungkin meminta wang secara tunai (ketika pemeriksaan). Sekiranya ingin menjelaskan bayaran pergi ke kaunter pembayaran Kastam dan anda akan diberikan resit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke SJKT Bukit Serampang Indah di Taman Bukit Indah, di sini hari ini.

Lawatan berkenaan diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Johor, Datuk Mohd Asojan.

Subramaniam berkata, bayaran GST perlu di kaunter pembayaran JKDM atau dibuat secara atas talian mengikut prosedur standard operasi (SOP) dan bukan diserahkan secara tunai kepada individu.

Katanya, sebagai pengesahan dan langkah keselamatan orang ramai juga diingatkan agar meminta individu yang datang membuat pemeriksaan di premis supaya menunjukkan kad kuasa mereka.

"Saya nak minta kerjasama orang awam. Kalau ada individu mengatakan dia pegawai kastam, perkara pertama perlu diminta ialah kad kuasanya," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR GUDANG - Sistem Kastam Baru akan dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan di semua pelabuhan utama seluruh negara bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK).
  • KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warganegara China, yang menyamar sebagai doktor gigi, hari ini dipenjara sebulan dan didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyediakan klinik pergigian yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  • KOTA TINGGI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah dan berita palsu mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
  • NILAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), merampas enam bungkusan guni disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 150.72 kg bernilai RM10.55 juta, dalam serbuan di sebuah premis di Seri Kembangan, semalam.