KUALA LUMPUR - "Mahu bakar diri, hidup pun tak guna", luah seorang warga Rohingya sambil menangis teresak-esak di kandang tertuduh selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan cuba membunuh diri hari ini.

Tidak dapat menahan kesedihannya, Ali Johar Jamal Hussin, 19, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu juga berkata, dia hanya tinggal sendirian di dunia selepas kampungnya dibakar oleh tentera Myanmar

"Di dunia ini tinggal saya sahaja, ahli keluarga telah dibom dan dibunuh oleh tentera di Myanmar, saudara-saudara kecil pula telah lari ke Bangladesh," katanya.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan atas kesalahan itu dan memerintahkan Ali Johar menjalani hukuman itu berjalan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan Ali Johar didapati cuba membunuh diri dengan mencurahkan petrol ke atas diri sendiri di hadapan LRT Ampang Park, Jalan Ampang jam 11.30 pagi, 30 Ogos lalu

Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut seksyen 309 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun jika sabit kesalahan.

Dia turut mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana masuk ke Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Bagi kesalahan itu pula, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) akta 155 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menyertai kira-kira 2000 warga Rohingya berhimpun dan menunjuk perasaan di LRT Ampang sambil membawa beberapa sepanduk.

Bagaimanapun tertuduh tiba-tiba dilihat mencurahkan petrol dari botol berwarna hijau sebelum ditahan oleh pihak polis yang membuay pemerhatian ke atas mereka.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.