GURUN - Pasangan suami isteri warga emas kerugian kira-kira RM6,000 setelah dirompak tiga lelaki bersenjata parang dan pedang dalam satu kejadian di rumah mereka di Kampung Sungai Rotan dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, mangsa Md Isa Taib, 75, dan isterinya Che Puan Amin, 61, kehilangan wang tunai RM3,000, sebuah komputer riba serta lima telefon bimbit dan ia merupakan kali ketiga keluarga itu dirompak.

Che Puan berkata sebelum kejadian, hanya beliau, suami serta anak perempuannya berusia 22 tahun sahaja berada di rumah dan mereka sedang tidur di bilik masing-masing.

"Tiba-tiba saya terkejut jaga dan melihat sudah ada tiga perompak di depan mata saya sedang bercakap dengan suami. Tiga perompak ini ada pegang pisau, pedang dan parang.

"Mereka mengikat mulut dan tangan kami serta menutup muka dan kepala dengan selimut tebal hingga sesak nafas," katanya kepada pemberita di rumahnya dekat sini hari ini.

Che Puan berkata salah seorang perompak pergi ke bilik anak perempuannya sebelum memecahkan pintu bilik dengan sebuah tong gas dan menariknya ke bilik mereka sebelum mengikat tangan, kaki serta menutup mulutnya dengan kain.

Katanya beliau dan suami turut cedera pada bahagian belakang badan dan tangan akibat dipukul oleh tiga perompak itu.

"Suami kena pukul pada bahagian tangan kanan sebab mereka tanya di mana barangan berharga lain tapi kami bagi tahu tak ada. Saya pula kena tendang di belakang sebab cuba bangun untuk bercakap," katanya.

Che Puan berkata dalam kejadian kira-kira satu jam itu, anak perempuannya turut cedera pada bahagian mulut akibat ditampar salah seorang perompak kerana enggan memberi telefon bimbit yang diminta.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.- Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.