MENGLEMBU - Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan tiga beradik daripada rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah di Taman Kledang Suria di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, seorang warga emas yang turut berada dalam rumah berkenaan beradalam dalam keadaan kritikal akibat terhidu asap tebal.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, pasukan bomba dan penyelamat Pasir Puteh menerima maklumat mengenai kebakaran rumah teres dua tingkat itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh berkata, terdapat empat mangsa terperangkap melibatkan seorang warga emas berusia 60 tahun, remaja perempuan berusia 19 dan 16 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Menurutnya, warga emas terbabit berjaya dikeluarkan dengan bantuan jiran yang menyedari kejadian itu.

"Tiga mangsa lain ditemui ditingkat atas dalam keadaan separuh sedar. Kebakaran dipercayai bermula dari ruang tamu yang menempatkan ruangan sembahyang.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan menggunakan jentera EMRS dan ambulan hospital," katanya.

Menurutnya, pasukan anggota yang diketuai Omar Mahmud yang turut menerima bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh meneruskan operasi memadam kebakaran sehingga padam sepenuhnya.

Operasi tamat kira-kira jam 4.51 pagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :