SHAH ALAM - Seorang bekas eksekutif akaun wanita sebuah syarikat logistik hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 489 pertuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM647,445.37 milik bekas majikannya.

Mai Shahira Ishak, 36, dari Pelabuhan Klang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No 43-02-1, Lorong Batu Nilam 1A, Bandar Bukit Tinggi, Klang dekat sini antara 31 Disember 2011 dan 30 Januari lepas mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Mai Shahira melakukan melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran 489 cek bernilai RM647,445.37 kepada Maidina Othman Trading milik Saidina Azzuanira Saidina Othman, yang diketahui tertuduh tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan majikannya, UTI Worlwide (M) Sdn Bhd, serta tidak sepatutnya menerima bayaran itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Syuhada Alwi menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Mai Shahira yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia dan suaminya terpaksa menanggung tiga anak yang masih kecil serta ibu bapa mereka.

"Saya sumpah ini adalah kes pertama dan terakhir saya... saya juga menghidap penyakit asma," katanya sambil menangis. - Bernama