ALOR SETAR - Seorang "ulat tiket" hari ini didenda  RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memujuk orang awam membeli tiket bas di Terminal Bas Shahab Perdana di sini, Oktober tahun lalu.     

Tertuduh Masdiana Zainal, 34, membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.     

Mengikut pertuduhan, Masdiana didakwa memujuk untuk menawarkan perkhidmatan bagi mendapatkan upah membawa penumpang di satu tempat awam iaitu di dalam kawasan terminal bas berkenaan kira-kira 12.05 tengah hari pada 11 Oktober 2016.     

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Khairul Hafizuddin kemudiannya memerintahkan sekiranya tertuduh tidak membayar denda berkenaan, dia boleh dipenjara empat bulan.

Masdiana membayar denda tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihana Halmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama