PUTRAJAYA - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi keterangan pada Isnin dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian tukaran asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990an.

Peguam Dr Mahathir Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata sepina itu telah diserahkan kepada beliau bagi pihak Dr Mahathir pada kira-kira 2.35 petang ini oleh pegawai RCI Amran Md Jusin.

Menurut sepina itu, Dr Mahathir dikehendaki menghadiri prosiding RCI pada 18 September pada 11 pagi, kata Mohamed Haniff Khatri ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata sepina itu sepatutnya diserahkan kepada Dr Mahathir pada sebelah pagi tetapi beliau  terpaksa bergegas ke Kedah untuk memberi penghormatan kepada Almarhum Sultan Kedah  Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, sambil menyatakan bagi menjimatkan masa, beliau mendapat arahan supaya menerima sepina itu bagi pihak Dr Mahathir.

"Saya beritahu pegawai itu bahawa saya sedang menyediakan surat kepada RCI untuk bertanya bila mereka akan mengambil kenyataan saksi Dr Mahathir, dan menyatakan beliau mahukan dokumen yang hendak dirujukkan kepada Dr Mahathir di prosiding itu, untuk diberi kepada mereka.

Mohamed Haniff berkata saksi-saksi lain telah menyediakan kenyataan saksi masing-masing kecuali  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara.

Sejumlah 22 saksi telah memberi keterangan di hadapan RCI itu termasuk Anwar, bekas gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas menteri kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang merupakan pengerusi Petronas, mengetuai panel lima anggota itu.

Anggota-anggota lain suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi  Datuk Wira Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas  Pemudahcara Perniagaan (Pemudah)  Tan Sri Saw Choo Boon, dan K. Puspanathan dari Institut Akauntan Malaysia.

Panel RCI mesti menyelesaikan tugasnya dan mengemukakan laporannya kepada  Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober. – Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendedahkan tiada sebarang lesen tukaran mata wang (forex) diberikan kepada mana- mana pihak untuk menjalankan aktiviti tersebut.
  • TASEK GELUGOR - "Boleh hubungi saya bila-bila masa, saya sedia ke mahkamah atau mana sahaja," tegas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • KUALA LUMPUR - Seramai 23,259 pelabur menjadi mangsa kes skim pelaburan forex dengan anggaran kerugian mencecah hampir RM80 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.