SUBANG - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  sudah bersedia dengan beberapa pesawat  untuk melaksanakan arahan misi kemanusian bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.

Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang berkata, pada masa ini pesawat Charlie C130 dan A400M  diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi melaksanakan arahan penghantaran bekalan sekali lagi,  jika diminta kerajaan.

"(Sabtu lepas) telah dilaksanakan misi kemanusiaan pertama, sekarang TUDM tunggu keputusan selanjutnya daripada kerajaan bila misi seterusnya akan dibuat.

"Kami akan pilih antara dua aset ini, jika barang yang ingin dibawa banyak,  sudah tentu A400M lebih sesuai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Sukan 1 Keluarga bertemakan 'Bangkit Bersama Sukan 1 Keluarga' di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini hari ini.

Pada 9 September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Misi Kemanusiaan - Negaraku Prihatin, menggunakan dua pesawat A400M TUDM bagi menghantar bekalan makanan dan barang keperluan seberat 12 tan ke Chittagong di Bangladesh.

Berhubung Karnival Sukan 1 Keluarga itu, Affendi berkata acara itu diadakan untuk mengeratkan silaturahim dan semangat kerjasama antara warga TUDM dan ahli Badan Amal Kebajikan (Bakat) Udara.

Menurutnya kemuncak sambutan itu adalah pada 18 November di Pangkalan Udara TUDM Subang, yang menyaksikan pelbagai acara sukan dipertandingkan antaranya futsal, golf dan badminton.

"Kami jangka 15,000 warga TUDM akan datang untuk memeriahkan lagi acara kemuncak karnival ini," kata Affendi.

Turut hadir pada pelancaran karnival sukan itu ialah Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat Udara, Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Bahagian Perhubungan Awam TUDM (MTU-Sekretariat Delta) berjaya mengharumkan nama TUDM setelah dinobatkan sebagai penerima anugerah dari Dewan Sosial Media Malaysia pada Malam Anugerah Media Sosial Malaysia Tahun 2017 yang diadakan di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan laporan bahawa kontena mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi telah hilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor Bahru.
  • SHAH ALAM - Pesawat EC725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No 10 Skuadron melaksanakan tugas Penerbangan Medical Evacuation (Medevac) untuk menerbangkan pesakit, Kamarul Zaman Khamis dari Kem Terendak ke Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan (HAT TM) untuk mendapatkan rawatan rapi dari doktor pakar.
  • TAWAU - Seramai 46 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang akan bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri diraikan dalam satu majlis Penyampaian Bungkusan Hari Raya di Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU), di sini hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.