REMBAU – Seorang penunggang motorsikal maut selepas terbabit dalam nahas di kilometer 235.7, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.51 pagi itu, mangsa, Mohd Syukri Zulkifli, 32, beralamat di Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi, Johor, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik susulan mengalami kecederaan parah badan bahagian badan.

Menurut Jurucakap polis, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motorsikal jenis Yamaha RXZ dipercayai telah merempuh bahagian belakang sebuah pacuan empat roda (4x4) yang berada di lorong kecemasan.

“Susulan rempuhan berkenaan, mangsa bersama motorsikal tercampak ke tengah lebuhraya dan dipercayai telah digilis oleh beberapa buah kenderaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, tadi.

Sementara itu, pemandu 4X4, Mohd Fikri Mustafa, 23, ketika kejadian dia bersama tiga lagi rakan sekampung yang berada di dalam kenderaan dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menuju ke Pulau Pangkor.

Menurutnya, selain mereka berempat, terdapat lebih 10 motorsikal yang turut sama berkonvoi ke lokasi berkenaan bagi percutian sempena Tahun Baru Cina.

“Semuanya dah bergerak di hadapan... setibanya di lokasi kejadian, kami nampak motorsikal rakan konvoi berada di lorong kecemasan.

“Saya beri isyarat ke kiri dan lampu kiri kanan sebagai tanda berlaku insiden kecemasan. Kebetulan motosikal yang rosak ditunggangi oleh adik rakan saya yang turut berada di dalam kenderaan.

Keadaan 4x4 yang dirempuh dari belakang di kilometer 235.7, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), awal pagi tadi.

Fikri berkata, rakannya itu turun dari kenderaan dan membawa kon untuk diletakkan di belakang kenderaan yang rosak.

“Baru sahaja kawan saya turun terus saya terdengar bunyi dentuman kuat dan serentak dengan itu saya lihat motorsikal bersama mangsa tercampak ke tengah lebuhraya.

Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku dalam sekelip mata dan dia masih lagi terperanjat dengan insiden berkenaan.

“Masa itu kenderaan lain agak laju dan saya yang baru pertama kali berhadapan dengan situasi ini sangat terperanjat serta masih mengigil hingga ke saat ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDAR CHENEH BARU - Seorang pelajar maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Felda Neram 2 - Cheneh, di sini, semalam.
  • KOTA TINGGI - Kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Jalan Bypass Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman petang tadi mengorbankan nyawa sepasang suami isteri.
  • BANDAR BAHARU - Tiga maut termasuk bayi berusia enam bulan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah sebuah kereta dan lori di jalan Kampung Batu 12, Terap, 12.15, tengahari tadi.
  • TANJONG KARANG - Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di kilometer 43 Jalan Klang - Teluk Intan, berhampiran Taman Air Manis, Sabak Bernam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Lorong 7, Parit 1, Sungai Sireh, Tanjong Karang.