• Kereta yang dipandu Ghazali terputus dua di Kilometer 52.2 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu. - Foto oleh Mohd Azlim Zainury Kereta yang dipandu Ghazali terputus dua di Kilometer 52.2 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu. - Foto oleh Mohd Azlim Zainury
1 /

SETIU – Seorang peniaga sate maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah bas ekspres dalam kemalangan di Kilometer 52.2 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di kawasan Kampung Sungai Lerek dekat Sungai Tong di sini menjelang tahun baru malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa, Ghazali Muhamad, 67, mati di tempat kejadian apabila cedera parah selepas kereta dinaikinya terputus dua.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang memandu seorang diri dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu dikatakan terbabas di lorong bertentangan.

Menurutnya, pada masa sama bas ekspres dari arah Kota Bharu cuba mengelak kereta tersebut lalu  masuk ke laluan sebelah kanan jalan namun kereta mangsa masuk semula ke laluannya menyebabkan kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa merempuh bahagian sisi kiri bas dan diseret sejauh beberapa meter,” katanya.

Ab Rahman berkata, akibat kemalangan itu bahagian depan kereta mangsa terputus dua dan mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Bagaimanapun pemandu dan 30 penumpang bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Johor Bharu dan Kluang, Johor itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mangsa yang menjalankan peniagaan sate di Dungun beralamat di Kampung Badak Rekang Hilir Belakang, Bachok, Kelantan dihantar ke bilik mayat untuk bedah siasat.

Kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat Trafik Setiu, Inspektor Musa Ali dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.