KUALA LUMPUR - Jumlah kenderaan di lebuh raya utama semakin meningkat ketika orang ramai mula bergerak meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sehingga tengah hari dilaporkan bergerak lancar.

Berdasarkan twitter PlusTrafik dan laman twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), hanya beberapa kawasan dilaporkan trafik perlahan ekoran berlakunya kemalangan serta hujan.

Menurut twitter PLUS, terdapat dua kemalangan di lebuh raya itu, iaitu di Km 422.5 arah selatan dari Bukit Tagar ke Bukit Beruntung, yang menyebabkan laluan di lorong kiri terhalang dan di Km 298.7 dan Km 300.1 arah utara dari Bangi ke Kajang.

Bagaimanapun trafik berjalan lancar dan tiada penutupan lorong dilakukan.
   
Trafik juga dilaporkan perlahan sebelum memasuki tol Jalan Duta menuju ke Bukit Lanjan dan dari Km 10.9 arah utara Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menuju ke Damansara.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus memberitahu Bernama laluan masuk ke tol dari pusat bandar juga bergerak perlahan namun terkawal.

Secara keseluruhan trafik masih terkawal setakat 12.30 tengah hari ini, katanya.

Dalam status terkini laman itu, PLUS menyarankan pengguna menggunakan kad 'PLUSmiles' dan 'Touch n Go' untuk menikmati rebat tol 30 peratus pada 15, 16, 22, 23 dan 31 Ogos ini.

Selain menggalakkan pengguna jalan raya mengikuti laman itu bagi mengikuti perkembangan terkini trafik di sepanjang lebuh raya terbabit, PLUS juga mengingatkan pengguna supaya mengisi minyak kenderaan secukupnya sebelum memulakan perjalanan dan mengamalkan pemanduan bijak dan berhemah.

Sementara itu, menurut laman twitter LLM, sehingga 12 tengah hari ini, trafik bergerak lancar di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan LPT, termasuk di sekitar Plaza Tol Gombak, Bentong dan Karak.

Trafik bagaimanapun sedikit perlahan dari Gombak ke Genting Sempah ekoran kemalangan yang berlaku di Km 28.1 arah timur.- Bernama