TREND pengguna media sosial hari ini dinilai sebagai terlalu memenuhi kepuasan diri sendiri tanpa mengira sensitiviti pihak yang terlibat secara langsung.

Pakar psikologi, Prof Madya Dr Ruhani Mat Min berkata, sememangnya setiap individu secara semula jadi perlu pengiktirafan daripada orang lain.

Menurutnya, pengiktirafan berkenaan meliputi semua perkara yang dilakukan.

Ruhani yang juga Dekan (Akademik dan Pelajar) Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, masyarakat maya berusaha menunjukkan kehebatan diri berbanding orang lain membuatkan mereka cuba meraih perhatian kononnya apa yang mereka ada melebihi orang lain.

“Tindakan dan sikap netizen yang gemar berkongsi gambar, video dan laporan semasa dilakukan dengan tujuan untuk kepuasan dirinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengupas isu obses dunia maya, Ruhani menyifatkan individu ingin menunjukkan kehebatan melalui aktiviti yang dilakukan menerusi medium Insta Story, Facebook Live, rakaman video dan aktiviti tersebut disiarkan secara maya.

“Seterusnya aktiviti berkenaan dapat ditonton oleh orang lain dan mungkin juga mendapat Like serta komen yang bertanyakan mengenai gambar dan peristiwa berkenaan. Ini adalah pengiktirafan.

“Apabila mendapat pengiktirafan ia sekali gus mendatangkan kepuasan,” jelasnya.

Bagaimanapun persoalannya, bagaimana perasaan individu lain, seperti ahli keluarga, adakah diberikan perhatian?

“Hal ini menyentuh corak sikap netizen yang sewenang-wenangya berkongsi gambar, video dan maklumat tular tanpa usul periksa berkenaan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah seolah-olah membelakangkan pihak berkuasa dan prosedur.

“Apa yang berlaku menunjukkan ramai pengguna media sosial melakukan aktiviti tersebut untuk kepuasan sendiri tanpa mengira sensitiviti pihak yang terlibat secara langsung,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Impak Media dan Industri Kreatif, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan berkata, maklumat golongan lebih sudu dari kuah ini lebih bahaya berbanding racun kerana maklumat yang mereka sajikan ini akan diambil bulat-bulat netizen yang malas mengambil tahu, menimbang dan memprosesnya terlebih dahulu.

“Pokoknya, kenapa pengguna laman sosial jadi lebih sudu dari kuah adalah kerana sikap tidak sabar. Isu dan tragedi dianggap seperti menonton filem, jadi mereka ingin menonton babak seterusnya dengan segera.

"Oleh kerana laporan dan siasatan mengambil masa, maka wujud ruang vakum dalam sfera komunikasi awam dan bagi golongan lebih sudu dari kuah, mereka akan penuhi vakum informasi ini dengan pelbagai maklumat tambahan lain yang tidak sahih entah datang dari mana.

“Di media sosial, mereka merupakan satu gerakan tanpa simbol dan boleh muncul di mana-mana. Dalam kebanyakkan masa juga mereka menggunakan akaun media sosial palsu.

"Baik isu selebriti hingga ke isu lebih serius seperti kebakaran, pasti ramai individu lebih sudu dari kuah ini muncul bak cendawan beracun.

“Saya katakan mereka lebih bahaya daripada racun kerana penyebaran lebih taktikal ke dalam minda masyarakat lalu membentuk pemikiran sesat,” katanya.

Jelasnya, aspek perang saraf media, golongan lebih sudu dari kuah ini dianggap sebagai chaos yang mampu menggangu dan menghancurkan saluran-saluran komunikasi media serta agenda kerajaan jika tidak diberi perhatian.

“Mereka sangat ramai dan merekalah penggerak sesuatu keadaan. Spekulasi dan siasatan tidak bertauliah mereka boleh menjadi penyebab kepada satu revolusi berdarah yang tidak sepatutnya wujud. Propaganda media yang terbaik buat masa ini adalah dengan mengadakan kempen kesedaran ditujukan kepada golongan lebih sudu daripada kuah ini agar mereka sedar yang mereka mempunyai kuasa sangat hebat dan disebalik kuasa itu, mereka ada tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara," katanya.

Ditanya kesan positif sikap netizen ini, Ahmad Sauffiyan berkata ada kesan yang positif terutamanya masyarakat akan lebih sedar hak mereka dari segi kepenggunaan dan perkara terjadi di sekeliling mereka.

“Nasihat saya kepada pengguna laman sosial, terutama golongan lebih sudu dari kuah ini, anda perlu guna akal, fikiran dan emosi sebelum menokok tambah maklumat tidak sahih mengenai sesuatu isu.

“Dalam sesetengah kes, pihak berwajib ambil sedikit masa untuk siasat sebelum hebahkan kepada orang awam. Janganlah awak pula yang jadi jurucakap haram.

“Selain itu, organisasi media tradisional adalah sumber informasi yang terbaik. Walaupun media tradisional ini terkesan akibat saingan media sosial, namun etika kewartawanan dalam menyampaikan berita sahih tetap keutamaan mereka,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MINGGU lalu, dunia kehakiman negara mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen Ipoh Barat (DAP), M Kulasegaran mendedahkan terdapat unsur mahu mempercepatkan kes supaya dapat mengejar Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Adakah itu benar?
  • MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Rabu minggu lalu menjelaskan KPI yang digunakan di Malaysia diiktiraf Bank Dunia dan mencadangkan negara lain turut mengambil contoh Malaysia sebagai panduan dalam menangani masalah keskes tertunggak.
  • SHAH ALAM - Setiap pihak perlu memainkan peranan memantau kanak-kanak dan remaja supaya tidak terpengaruh dengan aktiviti atau permainan yang boleh mengundang bahaya.
  • MODUS operandi utama sindiket pemaju rumah murah ini ialah bersandarkan kepada menjual impian semata-mata.
  • HARGA rumah pada hari ini bukan seperti puluhan tahun lalu dan pengguna pula perlu berfikir panjang untuk membuat pembelian.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.