SHAH ALAM - Polis sekali lagi menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjual atau memiliki tiket dan pas VIP palsu untuk aksi final bola sepak Piala FA di Stadium Shah Alam, esok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata mesin pengimbas akan ditempatkan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) di pintu masuk utama stadium bagi mengesan tiket palsu.

"FMLLP telah meningkatkan kualiti tiket bagi mengekang aktiviti penjualan tiket palsu. Selain itu, polis juga menubuhkan beberapa pasukan khas yang akan bertugas pada hari perlawanan bagi membanteras gejala penjualan tiket palsu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau juga menasihatkan penyokong kedua-dua pasukan agar tidak menggunakan dron pada perlawanan itu kerana ia akan mengganggu konsentrasi penonton.

Katanya seramai 2,315 anggota penguat kuasa termasuk 81 pegawai dan 1,924 anggota polis akan bertugas ketika perlawanan berlangsung.

Shafien berkata pintu stadium dibuka seawal pukul 4 petang dan penyokong kedua-dua pasukan dinasihatkan memasuki stadium awal, mengikut laluan yang ditetapkan.

Beliau berkata polis dengan kerjasama FMLLP turut menyediakan tiga lorong khas di semua pintu masuk bagi penyokong kanak-kanak, penyokong yang membawa beg dan yang tiada beg.

Seramai 72,000 penonton dijangka menyaksikan perlawanan itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.