KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap pemberi dan penerima rasuah jika mereka ditangkap.

Pengarahnya, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata, tindakan tegas diambil bagi memberi pengajaran kepada mereka dan masyarakat berhubung kesalahan rasuah.

Menurutnya, semua pihak telah diinggatkan supaya tidak terbabit dengan gejala rasuah termasuk orang awam, kontraktor, kakitangan awam dan swasta jika tidak mahu ditahan.

"Jika sabit kesalahan mereka akan diambil tindakan mengikut Seksyen 17(b) SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

"SPRM tidak akan kompromi dalam kesalahan rasuah dan mereka yang terbabit akan dikenakan tindakan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, di sini hari ini.

Seramai 300 kakitangan dan 60 kontraktor JPS menyertai IBR yang diketuai oleh Pengarah JPS Kelantan, Kamal Mustapha.

Moh Samsudin berkata, IBR itu adalah kali ke-146 yang berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung kesalahan rasuah.

Sementara itu menurutnya, setakat ini lebih ramai orang awam kini berani tampil melaporkan mengenai kes rasuah yang menunjukkan masyarakat mula sedar pentingnya melaporkan rasuah kepada pihak bertangggungjawab.

"Semakin ramai kini mula sedar dan kita mahu lebih ramai lagi melaporkan mengenai kegiatan rasuah di Kelantan.

"Usaha kita sentiasa berterusan dan mengalu-alukan lebih ramai agensi menyertai IBR di negeri ini pada masa akan datang," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMAMAN - Seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu dan isterinya direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan nilai kira-kira RM5.4 juta pada 2010 hingga 2017.
  • KOTA KINABALU - Seorang peniaga wanita direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung kes sogokan bernilai RM1,200 terhadap pegawai polis trafik.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana meminta suapan RM500 daripada seorang lelaki yang ditahan dalam sekatan jalan raya.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan dan pendidikan bagi memerangi rasuah, sekali gus mencapai misi dan visinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.