KUALA PILAH - Hanya mengambil masa kurang seminit. Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah berjaya menyelamatkan dua mangsa yang terperangkap di dalam sebuah kereta yang dihanyutkan arus deras pada jam 4.30 pagi tadi.

Kedua-dua mangsa wanita yang berusia 30an itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban gagal mengawal kereta jenis Nisan Sentra ketika melalui jalan Seremban - Kuala Pilah di kampung Sawah Liat, Ulu Bendul.

Difahamkan hujan lebat yang berlaku dari jam 1 pagi itu menyebabkan air naik mendadak sehingga paras pinggang turut mengakibatkan kira-kira 13 buah rumah dinaiki air namun tiada mangsa dipindahkan berikutan air telah surut kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Jefri Amat berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.05 pagi dan tiba di lokasi 40 minit kemudian bersama sebuah jentera dan sebuah EMRS serta 12 anggota.

"Bomba hanya menyedari mangsa yang terperangkap di dalam kereta setelah melihat lambaian mangsa kurang dari 200 meter dari lokasi rumah yang dinaiki air.

"Empat anggota bomba terus bergegas ke sana dan dua anggota telah terjun ke dalam parit kedalaman lima meter.

"Mangsa telah berjaya diselamatkan oleh dua anggota bomba kurang seminit dan mereka dalam keadaan hampir lemas," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa wanita yang terperangkap telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) oleh pasukan bomba.

"Buat masa ini, mangsa dalam keadaan stabil dan telah menerima rawatan lanjut di HTAN,"katanya.

Difahamkan tiga buah kenderaan dihanyutkan arus deras bagaimanapun kesemua mangsa dilaporkan selamat.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.