TAPAH - Polis menahan tiga individu disyaki pengedar dadah selepas menemui dadah jenis heroin bernilai RM14,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Damai, di Bidor, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketiga-tiga lelaki yang berumur 25 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira jam  11.30 malam di sebuah rumah.

Som Sak berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya telah merampas satu beg galas hitam berisi dadah jenis heroin seberat 576.01 gram.

"Sebaik tiba di rumah berkenaan, pintu rumah itu berkunci namun ada penghuni di dalam kediaman terbabit sebelum polis memperkenalkan diri dan ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri namun gagal.

"Selepas diperiksa, polis menjumpai dadah heroin dalam poket salah seorang suspek dan turut menemui sebuah beg galas yang mengandungi sembilan paket besar plastik lutsinar dengan setiap satu mengandungi 50 paket kecil berisi bahan disyaki dadah jenis heroin," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.

Som Sak berkata, pihaknya turut menemui peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah termasuk 14 bilah parang panjang selain merampas wang tunai bernilai RM748.

"Kita temui 10 bilah parang di dalam bilik manakala empat bilah lagi di dalam kereta yang berada di perkarangan rumah dengan topeng muka.

"Hasil ujian air kencing suspek mendapati mereka positif dadah jenis morfin dan methamphetamine dan kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Tapah di sini, untuk siasatan lanjut dan direman sehingga 27 Oktober ini," katanya.

Som Sak berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.