PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang melepaskan dan membebaskan tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada tuduhan menerima suapan RM3,200 daripada dua individu, enam tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat tiga panel hakim bersidang, Tan Sri Idrus Harun, Datuk Kamardin Hashim dan dipengerusikan Datuk Mohd Zawawi Salleh semalam, sekali gus menolak rayuan akhir pendakwaan.

Dalam keputusan itu, Mohd Zawawi berkata, mahkamah mendapati tiada elemen permintaan rasuah oleh responden, Mohd Fahmi Hassim, 32, Norzalizam Mohamad, 42 dan Shafik Affandi Zainal Abidin, 47.

"Keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh melepas dan membebaskan ketiga tiga responden dikekalkan," katanya.

Pihak pendakwaan selaku plaintif diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi manakala peguam, MM Athimulan , T Ellanggovan dan Khairul Anuar Musa mewakili kesemua responden.

Pada 18 Ogos 2016, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Samsudin Hassan melepas dan membebaskan Mohd Fahmi, Norzalizam dan Shafik Affandi selepas membenarkan permohonan rayuan mereka.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Ipoh, mereka dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau lapan bulan penjara tambahan selepas didapati bersalah pada 13 Ogos 2015.

Mohd Fahmi Hassim, Norzalizam dan Shafik Affandi yang kini digantung tugas didakwa  meminta  rasuah daripada pengadu dan abangnya sewaktu menahan mereka yang menaiki sebuah lori di persimpangan Jalan Lintang Lasah berhampiran jalan masuk ke Estet Thai Thong Sdn Bhd, Sungai Siput dekat sini jam 11 pagi, pada 28 Mei 2011.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :