JOHOR BAHARU - Polis tidak akan memberikan sokongan terhadap pembaharuan lesen pusat-pusat hiburan keluarga (PHK) di negeri ini kerana didapati kebanyakannya telah menyalahi syarat lesen operasi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, ada PHK daripada 78 yang masih beroperasi, menganjurkan aktiviti mesin perjudian.

"Pada tahun lepas, sebanyak 159 PHK beroperasi di negeri ini dan kini hanya tinggal 78 setelah sebahagiannya tidak diperbaharui lesen dan ditutup.

"Kegiatan PHK yang ada akan terus dipantau dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan Majlis Agama Islam negeri," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Mesin Perjudian di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan polis itu selari dengan usaha kerajaan dalam membanteras aktiviti tidak bermoral yang didapati berselindung di sebalik operasi PHK.

Mengenai aktiviti mesin perjudian, Mokhtar berkata kesemua ketua polis daerah telah memberikan akuan bahawa kawasan mereka sudah bebas pusat mesin perjudian.

Mohd Mokhtar menggesa agar lebih banyak kempen membenci perjudian dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa aktiviti itu hanya mendatangkan masalah sosial lain seperti Along dan gangsterisme.

Di GEORGETOWN, polis memberi amaran akan mengesyorkan pembatalan lesen terhadap PHK yang menjalankan kegiatan perjudian dan menggaji pendatang tanpa izin sebagai pelayan pelanggan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis akan mengesyorkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) supaya membatalkan lesen premis hiburan yang disalah guna itu.

Untuk tahun ini sebanyak 20 premis pusat hiburan tanpa lesen di sekitar daerah Timur Laut diserbu dan hasil kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB), bekalan elektrik premis-premis berkenaan dipotong, katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan taklimat bersama pemilik-pemilik pusat hiburan hari ini.

Terdapat lebih 45 pusat hiburan berlesen di sekitar daerah Timur Laut di situ dan setakat ini polis berjaya membanteras kegiatan pusat perjudian berkomputer di daerah itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • CHUKAI - Tujuh kaki judi termasuk seorang wanita Vietnam yang leka bermain judi di sebuah tokong Cina di Jalan Che Teng, di sini, terkejut apabila diserbu polis.
  • SUBANG JAYA - Keasyikan bermain judi dalam talian di sebuah restoran terbantut selepas diserbu sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
  • ALOR SETAR - Sebanyak enam rumah kediaman dan premis kedai yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik dalam operasi sepanjang Januari ini sekitar Kota Setar.
  • JOHOR BAHRU - Ayam jantan bernilai RM8,000 antara menjadi pertaruhan bagi merebut hadiah lumayan hasil aktiviti judi sabung ayam yang dipercayai mula aktif sejak tiga bulan lalu.
  • AMPANG - Pendapatan sebuah restoran yang mengaut untung puluhan ribu ringgit sehari terbongkar kerana bukan sahaja menjadi tempat menjamu selera, sebaliknya juga menjadi markas perjudian.