KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistert Kuala Terengganu, di sini, hari ini, atas dakwaan melakukan khianat dengan merosakkan barangan di rumah ibunya kerana bengang wanita itu tidak memberikan wang.

Tertuduh, Mohamad Salihi Mat Zin, 27, dari Batu Rakit, Kuala Nerus, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat membabitkan kerugian RM300.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan memecahkan cermin, dinding dan lantai rumah papan serta pinggan hingga menyebabkan pemiliknya, Fauziah Mohamed, 54, mengalami kerugian RM300 di sebuah rumah di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit, Kuala Nerus, jam 2 pagi, pada 1 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistert Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 25 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, tertuduh dikatakan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan kegagalan wanita itu menyerahkan wang menyebabkan tertuduh naik angin.

Dalam kejadian itu, tertuduh bertindak merosakkan cermi, dinding dan lantai papan serta pinggan milik ibunya menyebabkan mangsa menanggung kerugian RM300.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEPALA BATAS - Sebuah markas Pas dan enam buah rumah penduduk mengalami kerosakan dalam kejadian angin kencang yang melanda Kampung Paya Keladi Hujung, Pinang Tunggal lewat petang tadi.
  • SEBERANG JAYA - Tiga rumah rosak teruk akibat terkena letupan dipercayai mercun kelapa yang dilemparkan ke halaman sebuah rumah teres di sini pagi tadi.
  • ALOR SETAR - Tiga cedera, manakala lebih 35 rumah rosak selepas angin kuat melanda tiga kawasan di daerah Kota Setar, petang tadi. Dua daripada tiga mangsa yang cedera adalah dari...
  • TEMERLOH - Lebih 160 buah rumah, dua dewan orang ramai dan sebuah dewan sekolah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut yang melanda beberapa buah kampung di daerah Temerloh, petang semalam.