PUTRAJAYA - Tiada rakyat Malaysia yang terjejas dengan gempa bumi bermagnitud 8.2 di pantai Negeri Chiapas, 750 kilometer tenggara Bandaraya  Mexico pada Khamis.

Kedutaan Malaysia di Mexico berkata, ia telah menghubungi semua rakyat Malaysia yang menetap di Mexico selepas gempa berlaku.

“Mereka semua berada dalam keadaan selamat. Tiada yang tinggal di sekitar atau berdekatan kawasan terjejas,” kata kedutaan dalam satu kenyataan.

Gempa berlaku sejurus sebelum tengah malam waktu tempatan yang melanda pantai selatan dengan pusat gempa 133 kilometer (km) di barat daya bandar Pijijiapan, Chiapas pada kedalaman 58 km.

Dilaporkan berlaku 928 gempa susulan di seluruh Mexico.

Presiden, Enrique Peña Nieto telah mengumumkan tiga hari berkabung dan mengarahkan agensi negeri dan persekutuan memberi bantuan kepada mereka yang terbabit.

Kedutaan Malaysia berkata ia sedang memantau keadaan dan sentiasa menghubungi pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia telah dinasihatkan agar menghubungi kedutaan mengenai perkembangan semasa di talian 52 1 55 2889 0205 (pegawai berkenaan Khornelisman Jasri dan Roshidah Ibrahim) atau e-mel kepada mwmexico@kln.gov.my atau menerusi Facebook, Embajada De Malasia En Mexico dan Twitter @MYembMexicoCity.

Pihak kedutaan turut menyampaikan rasa takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Mexico berhubung tragedi itu.

“Simpati dan doa kami untuk anggota keluarga mangsa ketika waktu sedih ini,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.