IPOH - Tiada insiden pergaduhan antara kaum berlaku di negeri ini sepertimana didakwa dalam satu gambar dan video yang tular di media sosial, sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kejadian dalam gambar yang menunjukkan seorang mangsa putus tangan dan kes pergaduhan dalam video terbabit bukan kes yang sama.

Menurutnya, dalam gambar viral, terdapat komen bahawa ianya pergaduhan antara kaum telah berlaku di Tambun.

"Kes ini tidak berlaku dan tiada laporan diterima mengenai kejadian ini.

"Setakat ini, polis hanya menerima dua laporan berkaitan kes pergaduhan mengakibatkan kecederaan pada Isnin lalu.

"Kedua-duanya kini disiasat dibawah Seksyen148 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, laporan pertama diterima pada jam 1.30 pagi melibatkan seorang wanita mendakwa dipukul sekumpulan lelaki di hadapan sebuah bank di Ipoh Garden.

Kejadian menyebabkan wanita itu cedera di jari, kepala dan kaki.

Menurutnya, laporan kedua pula diterima satu jam selepas itu mendakwa dipukul sekumpulan lelaki dan wanita di sebuah pusat hiburan di Ipoh Garden.

Mangsa yang mengalami cedera di kepala, badan, leher dan kaki dituduh mencari pasal dengan seorang wanita.

"Kedua-dua kes ini masih dalam siasatan dan kita minta orang ramai menghentikan viral gambar dan video berkenaan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.