PAGOH - Kementerian Kesihatan berpendapat tidak ada keperluan untuk menubuhkan pasukan rawatan khas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun bentuk perubatan yang terbaik akan terus disalurkan kepada tokoh pembangkang itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pembentukan pasukan perubatan khas itu adalah tidak perlu kerana rawatan dan perhatian yang sewajarnya telah diberikan kepada Anwar sejak dahulu lagi sama seperti pesakit lain.

"Dia seorang pesakit yang sama seperti semua pesakit lain di bawah KKM, dan kita tak abaikan mana-mana pesakit pun sebelum ini. Jadi, kalau kita bangkitkan isu berkaitan penubuhan pasukan khas, ini bermaksud seolah-olah kita tak memberi perhatian penuh kepadanya sejak daripada dahulu.

"Itu jelas tak betul. Kita dah beri perhatian penuh sebagai perawat yang bertanggungjawab. Malah, golongan pakar juga merawat mengikut keperluan perubatan dan segala keputusan mereka adalah asas kepada keperluan perubatan yang biasanya bentuk keperluan itu dibuat atas dasar profesional," katanya ketika ditemui.

Terdahulu, beliau diminta mengulas kenyataan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengadakan rundingan dengan KKM dan Jabatan Penjara bagi menyalurkan rawatan selepas pembedahan kepada Anwar.

Sebelum itu keluarga Anwar memohon agar satu layanan sewajarnya diberikan kepada Ketua Umum PKR itu termasuk tempoh masa yang panjang untuk dia dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan bahu baru-baru ini.

Menurut Subramaniam, berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM, mereka sentiasa menilai apa jua keperluan dan cadangan Anwar berkaitan isu kesihatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :