KUALA LUMPUR - "Tiada lesen memandu merupakan kesalahan utama dilakukan pengguna jalan raya yang dikesan sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2018," kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Beliau berkata, sejak operasi itu dijalankan 9 Februari lalu, sebanyak 334 kes melibatkan kesalahan itu telah dicatatkan sehingga hari ini.

Menurutnya, kebanyakan pemandu yang tidak memiliki lesen itu disebabkan sikap mereka yang enggan mendapatkan lesen tersebut.

"Sikap enggan mengambil lesen memandu yang sah ini membimbangkan kerana kebiasaannya individu yang terlibat kemalangan tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina 2018 di Plaza Tol Batu di sini, malam ini.

Dalam operasi itu, beliau berkata sebanyak 1,065 motosikal diperiksa dengan 197 tindakan diambil terhadap penunggang motosikal.

"Antara kesalahan dilakukan ialah tiada lesen memandu, dan tiada cermin sisi," katanya.

Operasi bersepadu selama empat jam bermula jam 8.30 malam itu disertai 93 pegawai dan anggota daripada JPJ, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan penguatkuasanya mengarahkan beberapa pemandu lori menanggalkan pakaian seperti yang tular di laman sosial.
  • PUTRAJAYA - Sebarang ugutan dan ancaman tidak akan melemahkan serta melunturkan semangat pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan siasatan, kata ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
  • ALOR GAJAH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Jawatankuasa Pelesenan Institusi Memandu (JKPIM) akan sentiasa memantau isu harga lesen memandu yang ditetapkan institut memandu di negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 21,613 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan dalam Ops Patuh yang dijalankan di seluruh negara bagi tempoh Januari sehingga 30 Disember 2017.