PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan terhadap pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Dr Zamihan Mat Zin berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman.

"Itu (siasatan terhadap Zamihan) di bawah pihak polis, kita serahkan kepada pihak berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM2 juta, kepada 88 badan bukan kerajaan (NGO) Islam, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status Zamihan yang ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lepas, berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman dan mengkritik institusi diraja di sebuah masjid di Shah Alam pada 8 Oktober lepas.

Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lepas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Zamihan akur titah Sultan Selangor]

Ditanya mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam supaya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar Zamihan serta membatalkan keanggotaannya dalam Jawatankuasa Tauliah negeri itu, Jamil Khir secara ringkas berkata hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Mengenai permohonan untuk menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkaitan isu Zamihan, Jamil Khir berkata surat telah dihantar dan buat masa ini beliau masih belum menerima titah untuk menghadap.

"Insya-ALLAH apabila Tuanku (Sultan Ibrahim) titah, kita akan menghadap," kata Jamil Khir.

Pada Sabtu lepas, Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataan berkata, beliau dan Jamil Khir akan segera memohon perkenan untuk menghadap Sultan Johor berkaitan isu Zamihan yang menyampaikan ceramah yang mengkritik tindakan Sultan Johor susulan isu dobi mesra Muslim yang menjadi kontroversi baru-baru ini. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 30 November untuk pengurusan kes saman difailkan seorang pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips terhadap penceramah bebas, Zamihan Mat Zin atas dakwaan memuat naik posting bergambar yang memfitnahnya di dalam Facebook, November tahun lepas.
  • PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam sebulat suara menolak rayuan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati beliau bersalah dalam membuat kenyataan fitnah ke atas Syria Care dengan kos sebanyak RM10,000.
  • KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin yang direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
  • SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengarahkan siasatan dibuat terhadap Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin kerana didakwa mengkritik institusi diraja dalam ceramahnya di sebuah masjid di sini, Ahad lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.