SHAH ALAM - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan kajian terowong dasar laut di Pulau Pinang kini menjurus kepada pembayaran RM305 juta kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk membuat kajian tersebut oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menurut sumber, pasukan penyiasat kini sedang merakam percakapan saksi-saksi dalam syarikat-syarikat yang dilantik itu bagi mengenal pasti proses pembayaran untuk kajian kebolehlaksanaan tersebut.

"Menerusi penelitian dokumen-dokumen yang dirampas dalam proses siasatan, maka dipercayai dapat membantu untuk mengenalpasti sama ada bayaran tersebut (RM305 juta) adalah nilai sebenar atau yang telah dinaikkan.

"SPRM juga sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat tersebut mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut," katanya.

SPRM juga perlu lihat sama ada pakar-pakar yang dilantik untuk membuat kajian tersebut mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

Tambah sumber, tidak kira sama ada pakar-pakar yang dilantik itu adalah terdiri daripada kerajaan mahupun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalan kajian terowong dasar laut.

Difahamkan, kerajaan telah menetapkan piawaian kepakaran untuk menjalankan semua kajian termasuk kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci berhubung pembayaran penganugerahan pelaksanaan kajian terowong dasar laut tersebut.

Menurutnya, disebabkan ia melibatkan aspek-aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam, maka pasukan penyiasat memerlukan masa bagi menyiasat kes tersebut.

Justeru, beliau meminta semua pihak memberikan ruang dan peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan pihaknya masih dalam proses merakam percakapan saksi-saksi penting yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan ini.

“Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan," katanya.

Pada hari ini, SPRM juga telah merakam percakapan lapan individu termasuk setiausaha syarikat, penasihat dan perunding-perunding syarikat serta menggeledah sembilan syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan tempoh reman dua pemimpin syarikat bergelar 'Datuk' dilanjutkan lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
  • GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat serbuan ke atas beberapa pejabat kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan syarikat berhubung siasatan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.