Terkedu terima SMS ugut bunuh
$entry.content.caption.value

SHAH ALAM - “Saya terkedu dan terkejut apabila dapat khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan yang meminta wang tebusan berjumlah RM1 juta, jika mahu anak perempuan sulung saya (Aisha) selamat,” kata seorang guru berusia 44 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsiah (bukan nama sebenar).

Dia berkata, SMS itu diterima selepas dia menamatkan perbualan telefon dengan rakan anaknya, Aida yang memberitahu Aisha hilang selepas ke tandas pada malam 10 Februari lalu.

Sebelum itu, Shamsiah berkata, dia menghubungi telefon bimbit anaknya, tetapi tidak berjawab menyebabkannya menelefon Aida untuk bertanyakan lokasi.

“Selepas dimaklumkan mereka tersalah naik komuter dan Aisha pula hilang, hati dan fikiran saya bercelaru. Saya minta Aida bertanyakan orang sekeliling.

“Belum sempat telefon suami, saya terima SMS yang dikirimkan dari telefon bimbit anak saya, ‘KALAU KAU NAK ANAK KAU SELAMAT, BAGI AKU 1 JUTA DULU’ pada jam 8.54 malam. Saya terus balas SMS itu dan tanya di mana anak saya, tapi pengirim itu tidak mengendahkan pertanyaan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Shamsiah berkata, selang lima minit kemudian, pengirim itu memberi dua lagi SMS ugutan yang lebih menakutkan ‘KALAU TAK AKU BUNUH DIA SEKARANG!’ dan ‘AKU NAK 1 JUTA!’.

Menurutnya, dia terus menghubungi suaminya yang berada di Stesen Komuter Shah Alam dan suaminya memberitahu turut mendapat SMS ugutan sama. Mereka kemudiannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam membuat laporan polis.

“Saya tak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan ketika itu, namun sebagai seorang ibu, saya hanya mampu berdoa agar Aisha selamat dan tiada perkara buruk menimpanya.

“Ketika dalam perjalanan ke balai polis, saya hubungi Aida bertanya sama ada sudah menemui anak saya atau belum, tetapi dimaklumkan Aisha selamat dan mereka dalam perjalanan pulang ke Shah Alam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan sedang dijalankan.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.