TELUK INTAN - Sebanyak 3,500 permohonan Geran In-Kind Contribution (IKC) diterima oleh Unit Agropreneur Muda (UAM) bermula Januari hingga Februari 2018 melibatkan usahawan tani daripada golongan muda seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jumlah berkenaan melebihi daripada peruntukkan yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi tahun ini.

“Bagi pengetahuan semua, MOA hanya memperuntukkan sebanyak RM15 juta melibatkan 1,000 penerima geran IKC bagi 2018, tetapi baru sahaja dua bulan jumlah yang memohon sudah melebihi 3,500.

“Ini menunjukkan kita menerima sambutan luar biasa daripada golongan muda yang berminat dalam menjadi agropreneur muda sejak ia diperkenalkan Januari 2014,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Geran IKC Program Agropreneur Muda Peringkat Negeri Perak, di Chenderong Balai, hari ini.

Menurut Tajuddin, jika permohonan yang diterima makin menggalakkan tahun ini MOA akan mempertimbangkan untuk menambah lagi kuota penerima atau jumlah geran daripada peruntukkan asal yang ditetapkan sebelum ini.

“Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk mengubah persepsi golongan muda bahawa bidang perniagaan dan pertanian tidak memberi pulangan lumayan.

“Jika golongan muda bersedia untuk masuk ke dalam bidang usahawan tani ini kerajaan sedia memberikan bantuan serta nasihat kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, lebih 1,000 pengunjung hadir pada majlis berkenaan yang menawarkan produk jualan seperti ayam, ikan, minyak masak serta makanan daripada trak makanan dengan harga berpatutan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BACHOK - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menjalankan bancian di seluruh negara mengenai kerugian para petani akibat kerosakkan tanaman padi berikutan musim kemarau kini.