SEPANG - Dua tayar pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH726 dari Jakarta mengempis selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Insiden pada 7.13 pagi itu membabitkan pesawat Boeing 738 menyebabkan Landasan 2 di KLIA ditutup.

Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini berkata penumpang dan anak kapal selamat turun dari pesawat dan dipindahkan ke terminal menaiki bas.

Syarikat penerbangan itu berkata bagasi mereka juga dihantar ke terminal dengan bas.

"Landasan 2 di KLIA ditutup sehingga diberitahu kelak," kata kenyataan itu.

Malaysia Airlines berkata ia akan menyiasat punca kejadian berkenaan.

"Berikutan kekurangan pesawat, beberapa penerbangan  menggunakan pesawat ini akan dinaik taraf iaitu ia akan dikendalikan pesawat Airbus 330 dan kami sedang mengkaji untuk mengerahkan pesawat Airbus 380 untuk memberi perkhidmatan di laluan Australia," menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu menegaskan: "Keselamatan adalah keutamaan Malaysia Airlines dan melahirkan rasa kesal atas kesulitan yang berlaku kepada penumpang". –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pesawat Malaysia Airlines dalam penerbangan ke Kuala Lumpur yang terpaksa berpatah ke Melbourne pada Rabu kerana seorang penumpang "membuat kacau", dijadual berlepas dari bandar raya Australia itu pada 8 malam ini waktu tempatan.
  • KUALA LUMPUR - Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH127 yang sedang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di (KLIA) Sepang menuju ke Perth Australia tidak meneruskan penerbangan kerana disyaki sebuah tayar pesawat itu pecah.
  • KUALA LUMPUR - Penumpang penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2718 yang tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Sibu Sabtu lepas, terselamat kerana kecekapan kapten kapal tersebut yang berjaya mengawal situasi dengan baik sekali, kata pakar penerbangan.
  • KUALA LUMPUR - Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang membawa 61 penumpang dan enam orang anak kapal tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Sibu dalam hujan lebat malam ini.