KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menawarkan khidmat Pasukan Pakar Forensik Maritim kepada pihak Thailand Maritime Enforcement Coordinating Centre (THAI-MECC) bagi membantu siasatan kes rompakan kapal tangki milik syarikat Thailand, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah APMM Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata pasukan pakar Forensik Maritim itu berpengalaman luas dalam mengendali kes berprofil tinggi seperti insiden rompakan kapal MT Orkim Harmony pada Jun 2015 yang berakhir dengan lapan perompak diheret ke muka pengadilan.

"Pasukan ini mempunyai pengalaman dan reputasi baik dalam mengendalikan kejadian seumpama itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kapal tangki  CP41 yang dalam pelayaran ke Songkhla, Thailand dari Singapura  itu  dilapor  disamun  sekumpulan lelaki yang melarikan 1.5 juta liter minyak diesel dari muatan sejumlah 3.8 juta liter di kapal berkenaan.  

Selepas kejadian pada kira-kira 9 malam di perairan Kuantan itu, kapal berkenaan meneruskan pelayaran ke Thailand dan tiba di perairan Songkhla pada petang Ahad lalu.

Dalam pada itu, Zulkifili berkata kejadian samun itu dipercayai mempunyai  kaitan dengan aktiviti jual beli minyak secara haram kerana ada permintaan di pasaran gelap.

“APMM akan menggerakkan usaha untuk menghapuskan permintaan minyak hasil daripada rompakan di laut ini di pasaran gelap," katanya.

Zulkifili  berkata APMM akan meningkatkan kerjasama dengan agensi lain seperti Kastam Diraja Malaysia,  Jabatan Laut  dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menangani perkara itu.

Beliau  seterusnya berkata kerjasama dengan negara serantau seperti Singapura dan Indonesia juga akan diadakan sebagai langkah awal untuk menyekat penawaran dan permintaan minyak di pasaran gelap. -Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menyerahkan kembali tiga buah bot nelayan Indonesia yang ditahan kerana menceroboh perairan negara pada 16 Oktober lepas.
  • ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 300 ekor burung daripada spesies terancam pada kedudukan 4.97 batu nautika di perairan Tanjung Gabang, Selangor, petang semalam.
  • LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama dua nelayan warga Myanmar di 4.4 batu nautika barat daya Pulau Talang, di sini, petang semalam.
  • JOHOR BAHRU - Pertukaran nelayan Malaysia yang kini ditahan di Indonesia dan nelayan republik itu yang ditahan di Malaysia bagi kesalahan menceroboh kawasan perairan dijangka dilakukan pada Khamis ini, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar.
  • KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini berdepan cubaan suapan rasuah oleh nelayan asing yang ditangkap melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.