YAN - [DIKEMASKINI] Pengilang beras tempatan, Sukaramai menjadi mangsa apabila jenama beras berkenaan dikaitkan dengan pengeluaran beras palsu di laman sosial, baru-baru ini.
 
Kilang yang terletak di Sedaka, di sini, mula beroperasi sejak 1960 menggunakan jenama cap kambing sebelum melakukan penjenamaan semula pada 2000 dengan jenama baharunya, Sukaramai.
 
Pengurus kilang berkenaan, Tan Yen Seong menyifatkan insiden penipuan beras palsu itu sebagai berniat jahat terhadap industri beras tempatan.
 
“Seperti kebiasaan pada minggu pertama Ramadan, hasil jualan beras akan sedikit menurun dan pihak pengilang terpaksa menurunkan harga beras untuk meningkatkan semula jualan tersebut.
 
“Tetapi ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan melakukan sabotaj terhadap beberapa jenama beras tempatan,” katanya semasa tinjauan Sinar Harian bersama Persatuan Pengguna Kedah (Cake) ke kilang tersebut, kelmarin.
 
Menurutnya, susulan viral palsu tersebut, kilangnya turut didatangi pihak berkuasa daripada beberapa agensi untuk melakukan pemeriksaan.
 
“Sebelum ini tiga pengilang beras tempatan dan satu di Sabah heboh di laman sosial kononnya menghasilkan beras palsu bercampur plastik.
 
“Tidak lama kemudian, kita (Sukaramai) juga menerima nasib sama seperti mereka yang mendakwa menghasilkan beras palsu,” katanya.
 
Pengilang beras yang dimiliki oleh Syarikat Dinxings (M) Sdn Bhd itu menghasilkan 12 jenis beras termasuk bungkusan beras Super Tempatan dengan 10 peratus hancur (ST10), lima peratus hancur (ST5) dan beras wangi.
 
“Beras Sukaramai menggunakan hasil yang dibeli daripada petani sekitar Yan sebanyak 8,000 hingga 10,000 tan semusim padi. 

“Kalau difikirkan balik, dakwaan beras palsu itu memang tidak relevan dan tidak logik. Kos membeli satu tan plastik sahaja mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000. Sedangkan kos beras kita bagi setiap satu tan baru bernilai RM2,000,” katanya. 
 
Jelasnya, perbezaan kos tersebut adalah antara bukti pihaknya tidak menggunakan plastik untuk dijadikan beras palsu seperti yang didakwa pihak tertentu. 
 
Tinjauan lebih dua jam di kilang itu turut diperlihatkan kaedah penghasilan beras, pembersihan beras hingga pembungkusan untuk jualan. 
 
Kilang yang mempunyai 70 pekerja dan 25 lori itu juga mampu menghasilkan lebih 80 tan bungkusan beras sehari. 
 
“Usaha kami dalam soal kualiti terbukti apabila dianugerahkan Sijil Halal pada 2006 dan Persijilan ISO9001-2008 pada 2010,” katanya.

[ AUTA: Beras tiruan di pasaran ]

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun Facebook dan disahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), memaklumkan tidak ada kod sekuriti dengan cara memasukkan nombor pin terbalik pernah diwujudkan bagi menjamin keselamatan pengguna mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
  • SHAH ALAM - Baru-baru ini tersebar di laman sosial Facebook yang memaparkan tentang promosi pembiayaan Bank Rakyat untuk membeli mesin penapis air.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.