IPOH - Subjek alam sekitar dijangka dijadikan sukatan pelajaran di sekolah dan universiti dua tahun lagi, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, kertas cadangan mengenai perkara itu dijangka siap hujung tahun ini sebelum dibentangkan kepada Kabinet awal tahun depan.

"Kementerian saya diketuai oleh timbalan ketua setiausaha sedang membuat perbincangan dengan Kementerian Pendidikan di peringkat pegawai sebelum dibawa (perbincangan) di peringkat menteri.

"Penerimaan daripada Kementerian Pendidikan amat positif. Mereka bekerjasama dengan pegawai saya untuk mempelopori satu idea supaya satu sukatan diperkenalkan di peringkat sekolah dan universiti,” katanya kepada pemberita.

Beliau menghadiri  Sesi Dialog Asean di Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) 2017 di sini hari ini. Dialog dua hari bermula semalam itu bertemakan ‘Memacu Masa Hadapan: Landaan Inovatif Ke Arah Pembangunan Mapan’ anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR).

Wan Junaidi berkata, keputusan sama ada subjek tersebut apabila dilaksanakan kelak wajib diambil oleh pelajar akan terus dibincangkan dengan Kementerian Pendidikan.

"Kerangka yang akan dimasukkan dalam subjek itu juga masih dibincangkan kerana Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Taman Laut merangkumi banyak agenda.

“Kita juga akan berbincang dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air apa yang boleh dimasukkan dalam sukatan pelajaran itu," katanya.

Beliau berkata, sukatan pelajaran alam sekitar juga akan diperkenalkan di peringkat Tadika dalam bentu buku atau risalah bagi memberi pendedahan kepada generasi baharu mengenai kepentingan mencintai, menjaga dan memulihara alam sekitar.

Mengenai sesi dialog itu, Wan Junaidi berkata negara Asean perlu memelihara alam sekitar seperti hutan agar tidak terjejas.

"Di Malaysia kita mempunyai beberapa hutan di Sabah, Perak dan Langkawi yang menarik pelancong dari jauh dan dekat. Sekiranya hutan  dimusnahkan, aktiviti pelancongan juga akan terjejas," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.