GEORGETOWN - Siasatan SPRM berhubung kajian terowong dasar laut di Pulau Pinang kini  melibatkan proses pembidaan yang dijalankan untuk melantik syarikat bagi tujuan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu.

Difahamkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melanggar garis panduan perolehan yang ditetapkan apabila menganugerahkan projek kajian kebolehlaksanaan tersebut kepada syarikat terbabit.

Menurut sumber SPRM, nilai yang dibayar untuk membuat kajian tersebut dengan dengan cara penukaran dua lot tanah didapati jauh tinggi daripada keperluan minimum Jabatan Kerja Raya.

Tambah sumber itu lagi, pasukan penyiasat juga sedang meniliti dokumen dan menyiasat berhubung dakwaan kerajaan negeri Pulau Pinang membenarkan syarikat tujuan khas (SPV) Terowong Pulau Pinang untuk prajual hak tanah kerajaan berjumlah RM3 bilion  walhal terdapat projek jalan raya di negeri tersebut lewat empat tahun dalam memulakan pembinaan.

“Kita akan menyiasat kes ini secara terperinci dari semua aspek untuk memastikan tidak ada sebarang perbuatan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa berlaku dalam penganugerahan projek ini ” ujarnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyiasat kes ini daripada semua aspek dan secara adil.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada pasukan siasatan telah menemui bukti-bukti baru dalam proses siasatan.

“Biarlah kami jalankan siasatan secara terperinci dan mengenalpasti sama ada wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa seperti yang didakwa,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau juga berkata pasukan penyiasat pada hari ini telah pergi ke beberapa lagi lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk mengambil dokumen  hari ini serta merakam percakapan 11 orang saksi bagi membantu siasatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang lagi exco tertinggi Pulau Pinang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM 15 billion, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan insentif lebih RM400,000 kepada 267 penjawat awam setakat akhir tahun lepas sebagai galakan melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.
  • ALOR SETAR - Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa pada 29 Januari lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  • PUTRAJAYA - Tempoh reman terhadap tiga individu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan landskap bernilai RM44 juta, dilanjutkan selama empat hari sehingga 14 Februari ini.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan dan pendidikan bagi memerangi rasuah, sekali gus mencapai misi dan visinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.