PUTRAJAYA - Tempoh reman terhadap tiga individu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan landskap bernilai RM44 juta, dilanjutkan selama empat hari sehingga 14 Februari ini.

Majistret Izzatul Nawarrah Idrus mengeluarkan perintah sambung reman terhadap ketiga-tiga lelaki itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu, di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Mereka ialah timbalan pengurus besar di UEM Sunrise berusia 44 tahun serta dua kontraktor masing-masing berusia 51 dan 62 tahun.

Sementara itu, empat lagi individu iaitu seorang pengarah projek di UEM Sunrise berumur 55 tahun, pembantu wanita kepada timbalan pengurus besar terbabit yang berumur 34 tahun serta dua kontraktor berumur 44 dan 47 tahun, dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Ketujuh-tujuh individu terbabit sebelum ini ditahan reman sejak 6 Feb lepas berhubung kes tersebut yang berlaku antara tahun 2013 dan 2017.

Menurut laporan media, timbalan pengurus besar dan pengarah projek itu akan memastikan kontrak landskap di bawah seliaan mereka diberikan kepada lapan syarikat melalui tiga peringkat iaitu 'e-Bidding', 'One Off Contract' dan penyelenggaraan yang berjumlah kira-kira RM44 juta.

Laporan media juga menyebut, terdapat bayaran mencurigakan melebihi RM2.4 juta dimasukkan ke akaun bank suspek pertama dan isterinya oleh lapan syarikat kontraktor melalui empat orang proksi.- Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang lagi exco tertinggi Pulau Pinang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM 15 billion, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan insentif lebih RM400,000 kepada 267 penjawat awam setakat akhir tahun lepas sebagai galakan melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.
  • ALOR SETAR - Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa pada 29 Januari lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan dan pendidikan bagi memerangi rasuah, sekali gus mencapai misi dan visinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.