KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan yang dibuat Naib Presiden Warisan, Peter Anthony berhubung ditanya tentang kekuatan parti itu ketika ditahan reman SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, dalam menjalankan siasatan, semua pegawai SPRM melakukannya secara profesional.

“Kita menjalankan kerja dengan profesional jadi dalam hal-hal begini pihak kami tak mahu komen apa-apa.

“Kita fokus dengan kerja dan pegawai penyiasat yang profesional. Kalau apa-apa hal berkaitan politik saya tak nak komen,” katanya ketika ditemui media selepas Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah dalam Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Kajang, di sini, hari ini.

Dalam satu laporan portal media, Anthony menceritakan apa yang berlaku ketika ditahan SPRM, antaranya soalan berkaitan kekuatan Parti Warisan.

Anthony mendakwa ketika ditahan, pegawai bertanyakan kepadanya tentang kekuatan Warisan, atau sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Anthony direman tujuh hari minggu lepas berkaitan siasatan SPRM mengenai kegagalan urus niaga jual beli tanah di Tongod, Sabah.

Ahli perniagaan berusia 47 tahun itu ditahan pada 5 Oktober 2017 dan sekali lagi pada 6 Januari 2018 kerana didakwa terlibat dalam skandal penyelewengan dana persekutuan bernilai RM1.5 bilion yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan projek luar bandar Sabah.

Penahanan terbaru Anthony adalah berkaitan deposit 10 peratus bernilai RM15 juta urus niaga tanah gagal yang sepatutnya dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Dalam pada itu, Azam berkata, SPRM pada masa yang sama sedang menjejaki peguam yang dilantik Risda, Michael Ubu bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Tak jumpa. Kita berusaha jejak, ada kemungkinan dia tidak ada lagi di negara ini,” katanya.

Difahamkan, Peguam dilantik Risda, Michael Ubu adalah individu yang bertanggungjawab menguruskan urus niaga pembelian tanah itu kini gagal dikesan SPRM dan berkemungkinan telah menghilangkan diri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang lagi exco tertinggi Pulau Pinang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM 15 billion, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan insentif lebih RM400,000 kepada 267 penjawat awam setakat akhir tahun lepas sebagai galakan melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.
  • ALOR SETAR - Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa pada 29 Januari lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  • PUTRAJAYA - Tempoh reman terhadap tiga individu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan landskap bernilai RM44 juta, dilanjutkan selama empat hari sehingga 14 Februari ini.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan dan pendidikan bagi memerangi rasuah, sekali gus mencapai misi dan visinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.