ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah menahan 76 individu terbabit rasuah di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, daripada jumlah itu, 50 orang daripadanya adalah kakitangan kerajaan dengan 28 orang terdiri daripada anggota penguat kuasa beruniform.

"Baki daripada jumlah keseluruhan itu adalah orang awam dan sepanjang tahun lalu SPRM telah membuka 182 kertas siasatan.

"Sebanyak 484 maklumat telah diterima SPRM yang disiasat secara rasmi dan juga tidak rasmi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua maklumat yang diterima itu adalah daripada orang awam termasuk juga daripada laporan media.

Katanya, daripada kesemua tangkapan itu, SPRM telah menyita dan merampas barangan dan wang tunai bernilai jutaan ringgit.

"Ada juga daripadanya yang boleh dikatakan sebagai tangkapan berprofil tinggi," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih daripada orang ramai yang telah menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti rasuah itu.

"Tanpa mereka tidak mungkin SPRM mencatatkan kejayaan ini dan mengharapkan sikap sedemikian dapat diteruskan," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini pihaknya telah merancang pelbagai program kesedaran terhadap masyarakat agar menjauhi sebarang gejala rasuah.

Mohd Fauzi turut memberi ingatan kepada penjawat awam agar mengambil serius ingatan SPRM agar tidak terbabit dalam sebarang unsur rasuah seperti bermain golf dengan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan termasuk yang mendapat
penajaan untuk bercuti ke luar negara.

"Setakat ini, SPRM Kedah tidak mempunyai maklumat berkaitan itu," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang lagi exco tertinggi Pulau Pinang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM 15 billion, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan insentif lebih RM400,000 kepada 267 penjawat awam setakat akhir tahun lepas sebagai galakan melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.
  • ALOR SETAR - Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa pada 29 Januari lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  • PUTRAJAYA - Tempoh reman terhadap tiga individu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan landskap bernilai RM44 juta, dilanjutkan selama empat hari sehingga 14 Februari ini.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan dan pendidikan bagi memerangi rasuah, sekali gus mencapai misi dan visinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.