KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan serbuan di beberapa lagi lokasi di Pulau Pinang berhubung isu siasatan projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, jumlah dan tempat serbuan tidak boleh didedahkan pada waktu ini.

“Itu saya tak boleh kongsi,”katanya ringkas kepada media ketika hadir mengiringi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad sempena Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah dalam kalangan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Kajang, di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini kira-kira 21 orang telah dipanggil oleh SPRM bagi siasatan berhubung projek berkenaan.

Katanya, fokus utama keseluruhan siasatan tentunya membabitkan terowong dan isu tanah dalam projek tersebut.

Dalam pada itu, Azam berkata, tiada keperluan SPRM untuk memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengenai perkara terbabit.

“Belum lagi setakat ini, biar kita tengok segala bukti yang ada dulu,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan penglibatan syarikat berkaitan industri fesyen terbabit dalam projek berkenaan, beliau berkata, pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan.

“Bagi kami siasat dulu, mana-mana maklumat yang datang dari bahan media itu juga kita akan tengok selepas ini,” katanya.

Projek terowong dasar laut itu membabitkan pembinaan sepanjang 7.2 kilometer (km) menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama, dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang dijadualkan bermula 2023.

Projek itu adalah sebahagian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kerajaan Pulau Pinang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang lagi exco tertinggi Pulau Pinang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM 15 billion, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan insentif lebih RM400,000 kepada 267 penjawat awam setakat akhir tahun lepas sebagai galakan melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.
  • ALOR SETAR - Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa pada 29 Januari lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  • PUTRAJAYA - Tempoh reman terhadap tiga individu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan landskap bernilai RM44 juta, dilanjutkan selama empat hari sehingga 14 Februari ini.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan dan pendidikan bagi memerangi rasuah, sekali gus mencapai misi dan visinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.